Thursday, July 15, 2010

Tuntut nafkah 2 cucu



Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
2010/07/14

KUALA TERENGGANU: “Saya terpaksa buat begini kerana ini saja cara untuk bertemu semula dengan dia,” kata Mustafa Ismail, 64, yang memfailkan permohonan tuntutan nafkah ke atas anak kandungnya di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

TUNTUT HAK ...Mustafa pada perbicaraan tuntutan terhadap anak lelakinya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu.
TUNTUT HAK ...Mustafa pada perbicaraan tuntutan terhadap anak lelakinya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu.
Mustafa selaku plaintif membuat tuntutan terhadap Nasrun Mustafa, 37, supaya membayar tunggakan nafkah penjagaan dua cucunya yang juga anak defendan, sejak dia menjaga dua beradik itu tujuh tahun lalu sebanyak RM20,000 serta bayaran nafkah RM800 sebulan secara potongan gaji.

Dalam tuntutan difailkan melalui peguamnya, Fazru Anuar Yusoff, warga emas berkenaan menyatakan Nasrun meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki berusia sembilan tahun kepadanya selepas bercerai dengan isteri pertama pada 30 Disember 1998 sebelum kedua-duanya berkahwin lain.

Nasrun yang berkhidmat sebagai pengurus di sebuah syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM17,000 sebulan gagal dihubungi bapanya menyebabkan Mustafa yang tidak bekerja dan bergantung kepada wang simpanan nekad memfailkan permohonan tuntutan di mahkamah.

Hakim Kamarulazmi Ismail menasihatkan kes berkenaan diselesaikan di luar mahkamah dan menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

“Kita tunggu sajalah 24 Ogos ini, dia (Nasrun) ada masa dan saya harap masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” kata Mustafa ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Beladau Kolam di sini, semalam.

Mustafa berkata, dia buntu memikirkan masa depan dua cucunya dan terpaksa memilih jalan terakhir dengan membawa perkara itu ke mahkamah bagi membolehkan dia bertemu Nasrun.

Pesara syarikat cari gali itu berkata, dia sudah tidak bekerja, malah kesihatannya juga kurang baik kebelakangan ini menyebabkan dia tidak mampu menyediakan kewangan mencukupi untuk dua cucu kesayangannya itu yang masing-masing kini bersekolah dalam tingkatan satu dan tiga.

“Saya hanya mahu dia pulang supaya kami dapat bertemunya. Selama tujuh tahun dia tidak pernah menjenguk kedua-dua ibu bapanya dan dua anaknya... dia tidak pernah memberi nafkah kepada anaknya. Kami mahu dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak dan bapa dengan baik,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Mariam Abdullah, 54, berkata anak sulungnya itu berkahwin dengan isteri pertamanya yang berasal dari Kampung Batu Hampar, Telemong, Hulu Terengganu pada 1994, sebelum bercerai pada 1 Julai 1997, dan perceraian mereka disahkan pada 30 Disember 1998.

Katanya, selepas pasangan itu bercerai, dua cucunya dijaga bekas menantunya sehingga 2004, manakala anak lelakinya tidak pernah mengambil tahu perihal anak mereka. Bagaimanapun, selepas berkahwin baru, bekas menantunya menyerahkan penjagaan cucunya itu kepada dia dan suami.

“Anak lelaki mak cik pun berkahwin lain. Entah di mana silapnya, sejak itulah dia berubah, tidak pernah menjenguk kami dan anak-anaknya. Malah, perbelanjaan anaknya juga tidak pernah diberi. Mak cik bukan nak memuji, tapi sebelum berkahwin kali kedua, Nasrun seorang anak yang sangat baik.

“Bercakap dengan mak ayah pun sopan santun, sembahyang tidak pernah tinggal, malah sebagai anak sulung dan abang kepada enam adik, dia sangat mengambil berat hal keluarga. Siapalah yang tidak sedih bila perkara begini terjadi pada keluarga...tanya hati masing-masinglah,” katanya sambil mengelap air mata dengan tudung dipakainya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...