Monday, August 30, 2010

Joli wang isteri



Oleh MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN
metahad@hmetro.com.my
2010/08/29

MELAKA: Usianya sudah 40-an tetapi ia tidak membataskan nafsu pelik seorang lelaki kasanova apabila galak memburu wanita yang kebanyakannya berstatus janda hingga meminggirkan keluarganya.


Dia dikatakan pakar menjerat wanita dengan hanya menggunakan kata-kata manis, penampilan baik dan gaya berpakaian kemas, sekali gus menutup kekurangannya.

Ketika mendedahkan perkara itu, isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Shamsiah, 50-an, berkata dia kini tidak mengharapkan apa-apa daripada suami, sebaliknya mahu menuntut hak dan nafkah di mahkamah syariah.


Katanya, sifat kemaruk wanita lain menyebabkan suaminya lalai dalam menunaikan tanggungjawabnya dan hanya tahu melaram ketika keluar rumah hampir setiap hari sambil berlagak seperti orang muda.

“Selain pandai memujuk saya dengan kata-kata lemah lembut, suami yang tidak bekerja hampir setiap hari akan bersiap dengan kemas untuk keluar dan pulang apabila larut malam. Dia selamba meminta wang daripada saya dan anak untuk perbelanjaannya tanpa rasa malu.

“Kami ada perang mulut tetapi dia tidak pernah pukul saya, sebaliknya memberi tekanan dengan cara lain apabila menjalin hubungan dengan ramai wanita, tidak kira anak dara atau janda mahupun pelajar sekolah, dan menghabiskan wang simpanan saya menyebabkan saya hampir jadi gila,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di Alai, dekat sini.

Shamsiah berkata, tujuannya mendedah penderitaan hidupnya disebabkan sudah putus harapan untuk mengesan suaminya yang dipercayai mengikut seorang ustazah bergelar janda beranak empat di utara tanah air.

“Nasib saya tidak ubah seperti membela seekor biawak hidup kerana dengan berbekalkan wang gaji saya sebagai pengasuh pada siang hari dan bekerja di kedai makan pada waktu malam, sudah cukup menjadi modal hariannya.

“Saya pernah menegur tingkah lakunya kerana wang gaji saya peroleh sering tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga dan juga persekolahan anak, namun dia tidak ambil peduli,”
katanya.

Menjelaskan nasibnya, Shamsiah berkata, suaminya bijak berlakon dengan sifat lemah lembut memujuknya hingga dirinya ‘diperbodohkan’ sepanjang perkahwinan mereka sejak 18 tahun lalu.

Katanya, tembelang si suami terbongkar perlahan-lahan selepas anak bongsunya berusia setahun.

“Pada masa itu baru saya tahu selama ini dia (suami) pandai bermain kata-kata penuh dengan pujuk rayu. Kesudahannya habis duit pampasan kerja kilang dulu dan sebahagian duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lesap kira-kira RM30,000 dikeluarkan suami.

“Malah rumah yang saya beli di Lubok Redan, Masjid Tanah berharga RM45,000 turut digadainya dan satu sen pun wang tidak diberi,”
katanya.

Menurutnya, dia yang juga janda sebelum ini berkenalan dengan suaminya ketika bekerja di sebuah kilang di Ayer Keroh.

“Suami bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pada awal perkenalan saya tertarik dengan sikapnya yang baik dan pandai memujuk hingga saya bersetuju menikahinya.

“Mula-mula saya tidak tahu suami sudah beristeri namun selepas berkahwin pada 28 September 1992, baru saya tahu saya isteri kedua.

“Saya pernah meminta dia mempertemukan dengan isteri pertama yang juga janda beranak dua, namun suami enggan dan memberi pelbagai alasan, sedangkan tujuan saya baik,” katanya.

Menurutnya, di awal perkahwinan kehidupannya baik sebelum tiba-tiba suami menjalin hubungan dengan seorang gadis warga Indonesia yang dijadikan anak angkat pada 1997 di kilang sama dan tidak pulang ke rumah selama dua bulan.

Katanya, apabila pengurusan kilang mengetahui masalah itu, dia dibawa bertentang mata dengan gadis Indonesia itu yang diberi amaran supaya tidak lagi menjalin hubungan dengan suami orang atau dihantar balik ke negara asal.

“Apabila perkara itu terbongkar, suami pula bertindak licik apabila melarikan diri bersama gadis itu dan tinggal di sebuah rumah di Taboh Naning, Alor Gajah.

“Saya juga dapat tahu dia berkenalan dengan seorang janda dari Felda Jelai 3 dan pernah bawa balik ke rumah. Saya pasrah dan dua kali mengadukan nasib ke Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) sebelum suami kembali.


“Selepas itu kehidupan kami makin terhimpit apabila terpaksa mengikut suami berpindah-randah tidak kurang dari lima tempat.

“Selepas berkahwin, kami tinggal di Bukit Baru sebelum berpindah ke Kuala Linggi, Bukit Beruang, Bukit Katil dan Lubok Redan,”
katanya.

Shamsiah yang juga ibu kepada dua anak berusia 17 dan 15 tahun berkata, dia akhirnya berpindah balik ke kampung halaman di Parit Buntar, Perak pada Mei 2002 dan tinggal bersama ibunya.

Menurutnya, dia tidak mengetahui tipu muslihat suaminya mengajak balik ke kampung apabila berjanji mengubah sikap buruknya.

“Lain yang jadi, apabila sikap buruk suami makin menjadi-jadi kerana terus menjalin hubungan dengan ramai wanita.

“Bermula detik itu, kehidupan saya semakin terhimpit dengan perangainya dan difahamkan isteri pertama suami akhirnya turut meminta dilepaskan kerana tidak tahan menanggung derita ditinggalkan seperti nasib saya sekarang.


“Rupa-rupanya tekaan saya betul bahawa dia menjalin hubungan dengan seorang ustazah janda beranak empat. Malah, keluarga ustazah itu ada berjumpa saya serta menyatakan tidak setuju anak mereka berkahwin dengan suami,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu suami sekali lagi mengajak mereka berpindah semula ke Melaka dan menetap di Alai biarpun dia membantah kerana memikirkan persekolahan anak.

“Saya tidak akan maafkan perbuatan suami kerana habis wang ringgit saya hangus begitu saja kerana duit KWSP sebanyak RM8,800 dikeluarkan untuk belanja berpindah, bayar sewa dan sebagainya.

“Hidup saya sekeluarga kini semakin teruk. Makan pun ibaratnya kais pagi makan pagi, sewa rumah tertangguh dua bulan,”
katanya.

Shamsiah berkata, suaminya pernah memberitahu dia memikat wanita bekerjaya semata-mata mahu mengikis harta mereka manakala pelajar sekolah pula diberikan wang bagi tambah nilai telefon bimbit.

Katanya, perasaan sayangnya pada suami kini bertukar benci dan kesal, namun dia kasihan melihat anak perempuannya yang menanggung rindu untuk menemui bapanya.

“Saya kasihan melihat anak perempuan yang menghidap sakit pinggang. Ini kerana dia paling rapat dengan suami, jadi bila kami ditinggalkan, dia paling tertekan.

“Dulu saya kerap menangis sampai mengalami tekanan perasaan teruk kerana mengenangkan perbuatan suami.


“Namun sekarang tidak lagi kerana saya mahu lepaskan diri selepas mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suami menyatakan dia meminta maaf kerana banyak melakukan kesilapan dan meminta saya membuat tuntutan di mahkamah,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kandang berhubung SMS berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Joliwangisteri/myMA/myArticle

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...