Saturday, August 28, 2010

Tiger Woods luah perasaan sedih





PARAMUS, New Jersey - Pemain golf No. 1 dunia, Tiger Woods kelmarin mengakui bahawa sikapnya yang suka berpoya-poya menjadi punca dia berpisah dengan model dari Sweden, Elin Nordegren.

Dua hari selepas penceraian dan sehari sebelum bermula perlawanan golf kejohanan US PGA, Woods, 34, meluahkan perasaan selepas sehari majalah People menyiarkan wawancara pertama bersama Elin.

"Memang tindakan saya membawa kepada keputusan ini. Saya membuat banyak kesilapan dalam kehidupan. Itulah yang perlu saya harungi sekarang," kata Woods yang berharap dia akan belajar menjadi manusia lebih baik.

Ditanya adakah dia berasa lega apabila penceraian itu sudah selesai, Woods menjawab: "Saya tidak fikir itu perasaannya. Saya fikir ia lebih sedih. Tiada siapa berkahwin untuk bercerai, sebab itulah ia sangat menyedihkan."

Woods memberitahu, menguruskan penceraian adalah proses yang menyakitkan dan lebih sukar daripada yang difikirkannya. Pasangan itu kini cuba membantu dua anak mereka iaitu Sam dan Charlie untuk berdepan dengan perceraian tersebut.

Woods juga menyatakan dia tidak berkecil hati dengan isterinya. "Saya doakan dia yang terbaik dalam semua perkara. Ini adalah saat sukar dalam kehidupan kami," katanya yang kemudian diam apabila ditanya sama ada dia masih mencintai Elin atau tidak.

Selepas lima bulan tidak menyertai sebarang pertandingan untuk menjalani kaunseling dan menyelamatkan perkahwinannya, Woods hanya mampu menduduki tempat keempat dalam kejuaraan US Masters dan US Open pada Jun lalu.

Woods sebelum ini pernah dikaitkan dengan lebih 13 orang wanita, skandal yang sekali gus memusnahkan hubungannya dengan Elin. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...