2010/08/24
BATU PAHAT: Disebabkan terlalu daif, sepasang suami isteri bukan saja terpaksa menyerahkan tiga anak mereka kepada ahli keluarga untuk dibela, malah turut mendiami sebuah pondok tidak berdinding dan berlantaikan tanah di Kampung Sri Desa, Ayer Hitam sejak setahun lalu.
DAIF...Salidah bersama antara dua anak di pondok mereka.
Bagaikan jatuh ditimpa tangga, keluarga berkenaan juga terpaksa meratap pemergian anak keempat, Shahidan Hashim, 12, apabila kanak-kanak berkenaan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan maut, Khamis lalu.
Salidah Selamat, 39, berkata disebabkan terlalu daif dia dan suami terpaksa menyerahkan tiga anak kepada keluarga terdekat, manakala baki enam anak dibela mereka.
“Kami hidup dengan bantuan bulanan JKM sebanyak RM300, selain ihsan keluarga yang banyak menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga.
“Walaupun pondok ini hanya beratapkan zink, tidak berdinding dan berlantaikan tanah, kami terpaksa meneruskan hidup kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.
“Sebelum ini, kami menyewa di Ayer Hitam, namun disebabkan masalah kewangan dan keluarga, kami terpaksa meminta bantuan bapa dan menumpang di tanah keluarga,” katanya.
Menurutnya, pondok itu dibina sendiri bapanya dan ia menjadi tempat mereka berlindung dan tidur kerana tidak mahu menyusahkan keluarga.
“Saya sedar anak saya ramai dan sebab itulah, saya, suami dan dua anak tidur di pondok ini manakala arwah dan anak lain menumpang tidur di rumah ayah.
“Walaupun pondok ini tidak kukuh dan sempit, kami tetap bersyukur kerana sedar rumah ayah juga perlu menampung ahli keluarga lain,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga cuba membaiki nasib dengan anak sulung bekerja di sebuah kedai cenderahati, namun gajinya sebanyak RM300 sebulan sukar membantu mereka.
Tinjauan Harian Metro mendapati, pondok kecil itu tidak berdinding, mempunyai pangkin dibina di bahagian atas sebagai bilik tidur yang sempit dan hanya ditutup menggunakan papan lapis bagi mengelak pandangan orang ramai.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mahligaitanpadinding/Article
No comments:
Post a Comment