Wednesday, August 25, 2010

Tiger Woods sah bercerai


GAMBAR fail menunjukkan Tiger Woods dan Elin Nordegren (kanan) di sebuah stadium di Stanford, California pada 21 November 2009.


PANAMA CITY, Amerika Syarikat (AS) - Bintang golf, Tiger Woods dan isterinya, Elin Nordegren telah bercerai secara rasmi.

Pengumuman itu dibuat setelah perkahwinan mereka runtuh disebabkan siri- siri skandal seks melibatkan Woods.

Pada tahun lalu, media membongkar kecurangan Woods yang menjalin hubungan dengan sejumlah wanita termasuk pelakon filem lucah.

Woods, 34, dan isterinya yang berusia 30 tahun dari Sweden itu dalam satu kenyataan bersama kelmarin memberitahu, mereka sedih kerana perkahwinan enam tahun mereka berakhir dengan perceraian.

Namun, tambah kenyataan sama, mereka mengharapkan masing-masing memperoleh masa depan yang cerah dan berjanji akan tetap bekerjasama demi kegembiraan anak-anak.

"Walaupun kami bukan lagi suami isteri, kami adalah ibu bapa kepada dua anak yang baik dan kegembiraan mereka sentiasa menjadi kepentingan kami," kata kenyataan tersebut.

Dalam petisyen perceraian Nordegren yang difailkan pada awal Julai lalu, dia mendakwa perkahwinannya tidak dapat diselamatkan lagi.

Dia turut meminta untuk kembali menggunakan nama asalnya semasa dia belum berkahwin.

Woods dan Nordegren menghadiri proses perceraian mereka di sebuah mahkamah di sini.

Dokumen mahkamah mendedahkan Nordegren berpindah dari kediaman mereka pada November lalu dan menetap di sebuah kediaman berhampiran yang lain.

Woods mengahwini Nordegren, seorang bekas model, pada Oktober 2004 di Barbados dan pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun, Sam dan Charlie yang berumur 19 bulan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...