Sunday, August 1, 2010

Si Bankrap Merana Kerana Hutang Orang Lain

Ahad Ogos 1, 2010

KUALA LUMPUR: Tinjauan wartawan Mingguan mStar di Unit Kebankrapan, Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan, mendapati kebanyakan si bankrap yang hadir atas ‘tiket’ sebagai penjamin.

Beberapa si bankrap yang ditemui selepas keluar dari bilik rundingcara bagi sesi soalan awal bersama Pegawai Insolvensi pasrah dengan nasib malang menimpa mereka.

Calvin (bukan nama sebenar), 41, berasal dari Ampang menyifatkan berita mengenai status kebankrapan merupakan sesuatu perkara paling musibah dalam dirinya.

Dia menjadi penjamin kepada abangnya untuk membuat pinjaman perniagaan pada tahun 2000.Perniagaan itu bermasalah menyebabkan abangnya gagal membayar hutang hampir RM1 juta.

“Saya hanya tahu sudah bankrap apabila dikenakan sekatan ketika majikan mahu menghantar saya bertugas ke luar negara.“Status bankrap ini menyebabkan saya diberhentikan kerja dan terpaksa mencari sumber pendapatan lain,” katanya.

Selain diberhentikan kerja dan sekatan ke luar negara, akaun simpanan Calvin turut dibekukan tanpa membolehkannya membuat sebarang transaksi kewangan.

“Saya tidak tahu hendak melepaskan geram pada siapa. Saya juga salah kerana mahu menjadi penjaminnya dulu,” ujarnya.

“Saya sudah terkena”

Bagi Kumaresan (bukan nama sebenar), 38, berasal dari Cheras, dia diiystiharkan bankrap pada April 2004, namun baru mengetahui status kebankrapan itu tahun lalu.

Menurutnya, kes kebankrapan itu disebabkan tindakan dia menjadi penjamin kepada seorang kenalan bagi pembelian sebuah kenderaan untuk kegunaan perniagaan.

“Bagaimanapun, dia gagal bayar hutang sehingga tertunggak sejumlah RM61,000.

“Nasib saya sungguh malang kerana bukan setakat menjadi bankrap, kena bayar hutang orang lain tetapi kenalan yang berhutang itu ‘hilang’ entah ke mana,” katanya.

Jauh di sudut hati, tidak dinafikan Kumaresan berasa amat tertekan apabila dimaklumkan bahawa dirinya diisytiharkan bankrap.

“Saya terfikir, hanya bekerja sebagai menjadi pemandu teksi, bagaimana saya hendak menyara isteri dan anak-anak yang masih kecil termasuk jumlah ‘hutang’?.

“Nak buat macam mana? Saya sudah pun terkena. Nak tak nak, saya terpaksa tanggung,” katanya.

Ralat lunas hutang

Hajat Mariam (bukan nama sebenar), 49, berasal dari Kajang untuk menunaikan umrah mungkin terpaksa ditangguhkan kerana diisytiharkan bankrap.

Semuanya hanya diketahui selepas namanya disenaraihitamkan apabila hendak membuat pembaharuan semula pasport.

Seingatnya, hutang yang ada adalah overdraft RM20,000.

“Apabila membuat semakan di Jabatan Insolvensi, saya dimaklumkan ia membabitkan aset sebuah rumah di bawah nama saya.

“Dulu, bekas teman lelaki menamakan rumah itu atas nama saya. Kerana cinta, saya bersetuju tanpa fikir panjang, kata Mariam.

Dia bertanggungjawab menyelesaikan masalah sendiri, namun ralat sekiranya beban hutang orang lain perlu dilunaskan.

“Saya sanggup bayar berapa saja jumlahnya tetapi tidak mahu bayar hutang orang lain meskipun aset itu di atas nama saya kerana saya tidak pun pernah mendiaminya selama ini,” katanya dengan nada kecewa.

Mingguan mStar merupakan sisipan Bahada Malaysia yang diterbitkan bersama akhbar The Sunday Star pada setiap hari Ahad.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/8/1/mstar_berita/20100801111356&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...