2010/09/22
KLANG: Bapa anak lima dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan denda 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol adik ipar berusia 13 tahun, dalam tiga kejadian berasingan, empat tahun lalu.
Hakim Yong Zarida Sazali membuat keputusan itu terhadap tertuduh yang bekerja sendiri selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan merogol adik isteri di rumahnya di Sabak Bernam pada jam 3.15 petang 8 Ogos, 4.30 petang, 10 Ogos dan 6.30 petang pada 18 Ogos 2006.
Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Yong Zarida memerintahkan tertuduh dipenjara 15 tahun dan dikenakan empat sebatan untuk setiap pertuduhan.
Mahkamah juga memerintahkan hukuman untuk pertuduhan pertama dan kedua berjalan serentak dari tarikh tangkap iaitu 1 April 2010.
Manakala, hukuman bagi pertuduhan ketiga berjalan selepas tertuduh selesai tempoh penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua. Terdahulu, peguam bela mewakili tertuduh, Rajagopal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan kerana anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noorbaya Jamil, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan itu adalah keji dan tidak diterima masyarakat.
“Perbuatan tertuduh amat serius. Dia sepatutnya menjaga adik iparnya itu bukan mengambil kesempatan terhadap diri mangsa.
“Dilihat pada tuntutan undang-undang, kesalahan yang kamu lakukan bukan saja menjijikkan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia,” katanya.
Siti Noorbaya berkata, hukuman berat perlu diberikan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat. “Ini kerana tertuduh sudah mempunyai isteri dan pernah merasai nikmat hubungan suami isteri,” katanya.
Berdasarkan keterangan mangsa, tertuduh merogolnya apabila dia ke rumah abang iparnya itu bagi menjaga lima anak pasangan berkenaan.
Sebelum ini, tertuduh pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Oktober 2006, namun dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri. Pendakwaan kemudian membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 April lalu.
Mahkamah Tinggi itu memutuskan menerima rayuan dan mengarahkan tertuduh dipanggil membela diri. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan sudah memanggil 12 saksi, manakala tiga saksi pembelaan tampil memberi keterangan. Pada prosiding semalam, Siti Noorbaya turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin dan Siti Syuhada Alwi.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Abangipardurjanadipenjara30tahun/Article
No comments:
Post a Comment