2010/09/22
SUNGAI PETANI: Seutas jam tangan yang disahkan milik seorang kontraktor dilapor hilang April lalu, Mohd Shafiq Abdullah, 37,menjadi petunjuk kemungkinan lelaki itu senasib dengan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.
Isteri kontraktor itu, Samson Nahar Mohamed Dali, 35, berkata dia dipanggil polis untuk mengenalpasti jam tangan berkenaan ketika ke Banting minggu lalu membantu siasatan.
"Saya tak pasti macam mana polis jumpa jam itu tapi yang saya ingat jumpa di ladang, saya cam jam itu sebab suami ada banyak jam berjenama tapi satu itu saja yang bertali kulit jenama Puma," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Bunga Raya, di sini hari ini.
Samson Nahar berkata beliau dipanggil polis kerana dalam kenyataannya mengenai kehilangan suami di balai polis Petaling, Kuala Lumpur April lalu, beliau memberitahu sudah menghubungi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati untuk mencari Mohd Shafiq. Beliau berkata laporan polis mengenai kehilangan suaminya dibuat pada 13 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini dan kes itu kemudian dipindahkan ke balai polis Petaling kerana suaminya hilang di Kuala Lumpur.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.
Samson Nahar berkata Mohd Shafiq yang berasal dari Perak tinggal di sebuah rumah sewa di Kuchai Lama, Kuala Lumpur kerana bekerja di sana dan hanya pulang ke rumah mereka di Sungai Petani setiap hujung minggu. Beliau berkata selepas menyedari ada sesuatu yang buruk berlaku terhadap Mohd Shafiq, beliau menghubungi semua rakan-rakan serta pihak-pihak yang pernah berurusan dengan suaminya termasuk suspek.
"Semua orang jawab tak tahu, tapi dia (suspek) seorang saja yang bagi jawapan ada jumpa suami dan beritahu suami saya ke luar negara dan akan balik lima enam hari lagi.
"Tapi bila saya tanya pergi mana, dia kata rahsia dan dari situ saya rasa pelik dan terus pergi ke rumah sewa suami di Kuchai Lama untuk mencari pasport suami saya," katanya.
Samson Nahar berkata beliau menemui pasport suaminya di rumah sewa itu dan ketika itu beliau menyedari bahawa kehilangan suaminya ada kaitan dengan suspek.
Kali terakhir Samson Nahar berhubung dengan suaminya melalui telefon ialah pada 7 April lalu dan gagal menghubunginya sehari selepas itu.
Beliau berkata polis juga sudah mengambil sampel untuk ujian DNA daripada ibu Mohd Shafiq yang kini menetap di Dengkil, Selangor. "Polis juga ada meminta barang peribadi suami, saya ada serahkan kasut suami minggu lepas kerana itu saja yang ada untuk membantu siasatan dan saya dimaklumkan keputusan DNA akan siap dalam dua minggu," katanya.
Mengimbas kenangan bersama suami sejak 14 tahun lalu, Samson Nahar berkata Mohd Shafiq seorang yang sangat bertanggungjawab dan tidak pernah lupa untuk memaklumkan destinasinya sekiranya mahu ke mana-mana.
Beliau berkata walaupun ingin ke sesuatu tempat dalam tempoh yang singkat, suaminya akan tetap memberitahu dan pulang bertemu dengan keluarganya terlebih dulu.
"Dia memang selalu ke luar daerah dan ada juga pergi ke luar negara, tapi setiap kali sebelum pergi mana-mana dia mesti balik sini dulu sehari atau dua hari untuk bersama saya dan anak-anak," katanya.
Samson Nahar berkata selepas dimaklumkan 95 peratus kemungkinan suaminya adalah antara mangsa jenayah kejam itu pada malam Hari Raya lalu, keluarganya mengadakan solat ghaib serta majlis tahlil untuk suaminya.
"Namun saya masih menaruh harapan suami selamat selagi belum ada pengesahan dan sekiranya disahkan dia sudah meninggal, kami kena terima dan saya harap dapat mengebumikan tulangnya di sini (Sungai Petani)," katanya. Samson Nahar berkata beliau dan anak-anak akan berpindah ke rumah yang baru dibeli suaminya di kawasan perumahan berhampiran tempat tinggalnya sekarang dalam tempoh terdekat.
"Tapi saya tak tau macam mana nak teruskan hidup lepas ini sebab hilang tempat bergantung, saya pula tiada kerja tetap," kata surirumah yang mengajar kelas tambahan kepada pelajar sekolah secara sambilan di rumah. - Bernama
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JamtanganjadipetunjuksuamimungkinsenasibSosilawati/Article
No comments:
Post a Comment