PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn terkilan dengan laporan sebuah akhbar Ahad lalu, yang kononnya mendakwa pemergiannya ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah dari 15 hingga 25 Jun lepas seperti hendak menunjuk-nunjuk.
Linda menerusi blognya yang disiarkan pada Isnin lalu berkata tuduhan itu amat mengguris hatinya kerana pemergiannya ke Tanah Suci Mekah adalah ditaja oleh syarikat pelancongan Gemilang Travel yang menjalinkan kerjasama dengan stesen radio Suria FM.
Katanya, sepanjang berada di Mekah, Linda menjalankan tugasan dengan melaporkan segala perkembangan mengenai rombongan tersebut yang mana ia merupakan perjanjian yang telah dimeterai di antara stesen radio itu sebagai radio rasmi dengan ejen pelancongan berkenaan.
“Linda diberi tugasan membuat liputan perjalanan sebelum berangkat, semasa berada di Madinah, Mekah sehinggalah perjalanan pulang Linda ke Malaysia. Semua itu merupakan perjanjian di antara Gemilang Travel dan juga Suria FM.
“Sepanjang mengikuti rombongan itu Linda membuat lintasan secara langsung sebanyak dua kali sehari bagi mempromosi syarikat berkenaan,” katanya dalam blog tersebut.
Ahad lalu ruangan pojok Siti Jarum di dalam Pancaindera, Mingguan Malaysia telah menyindir Linda Onn yang bergambar dengan memegang sepanduk tertulis “Umrah Bersama Linda Onn” seperti memberitahu dia berjaya mengerjakan umrah.
Tindakan itu kata Siti Jarum seperti pendaki yang biasanya memegang sepanduk setiap kali berjaya menawan puncak gunung.
Mengenai tindakannya bergambar dengan memegang sepanduk itu kata Linda ia dibuat bukan atas kehendak dia sebaliknya sepanduk itu disediakan oleh ejen pelancongan atas dasar mempromosikan syarikat mereka.
Ujar Linda sudah beberapa kali dia mengerjakan umrah tetapi tidak pernah pun membawa sepanduk melainkan untuk rombongan umrah anjuran syarikat pelancongan berkenaan.
Katanya, dia tidak sedikit pun terlintas untuk memberitahu telah berjaya melakukan umrah dengan memegang sepanduk itu.
“Bila diminta bergambar sebagai duta kecil, Linda pun bergambar beramai-ramai dengan jemaah yang lain dan tidak terniat untuk menjadikan ia sebagai pengesahan yang Linda berjaya melakukan umrah,” katanya.
Sementara itu dalam satu kiriman SMS kepada mStar Online, Selasa, personaliti ini memberitahu dia benar-benar terkilan dengan sindiran itu kerana ia memperlihatkan seolah-olah dia mempermainkan kerja baik yang dilakukan.
“Linda betul-betul kecil hati. Ini soal ibadat. Kalau soal lain, Linda tak pernah rasa (terkilan) macam ni,” katanya sambil membenarkan mStar Online memetik tulisan di dalam blognya.
http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/9/1/mstar_hiburan/20100831165034&sec=mstar_hiburan
No comments:
Post a Comment