Wednesday, September 1, 2010

Menangis teresak-esak elak ditahan

2010/09/01

SHAH ALAM: Helah sepasang kekasih menempah dua bilik bersebelahan menggunakan nama masing-masing di hotel bajet di Bandar Sunway, Petaling Jaya, semalam, gagal mengaburi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pasangan kekasih berusia 22 dan 24 tahun dari pantai timur menangis teresak-sesak supaya dibebaskan sejurus ditahan pegawai penguat kuasa Jais. Difahamkan, pasangan muda terbabit sanggup berpanas dengan mematikan operasi pendingin hawa dan lampu bilik sebelum membuat maksiat.


Itu antara taktik licik beberapa pasangan yang ditahan dalam ‘Ops Sayang’ sempena sambutan ambang Merdeka Ke-53 yang turut membabitkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan ahli jawatankuasa masjid.


Dalam operasi bermula kira-kira jam 1 pagi dan berakhir empat jam kemudian itu, 22 pasangan membabitkan daerah Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya ditahan kerana disyaki berkhalwat. Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jais, Mohamad Rais Rasid berkata, antara kawasan yang digempur pihak berkuasa adalah hotel bajet di sekitar Klang, Kuala Selangor, Shah Alam, Petaling Jaya, Sabak Bernam dan Hulu Langat.


“Anggota kami dipecahkan kepada lapan kumpulan yang masing-masing ke destinasi tumpuan. “Ops pada malam ini bertujuan menyelamatkan remaja Melayu daripada terjebak ke lembah maksiat dan gejala sosial yang tak bermoral,” katanya.


Beliau berkata, pusat hiburan dan hotel bajet dijadikan tempat utama serbuan berikutan cara lapuk berdua-duaan di tempat awam tidak menjadi kegemaran mereka lagi.


“Kami fokuskan lebih kepada hotel bajet sebab ia lebih murah dan dipercayai ramai pergi ke situ.


Ops Sayang ini kami lakukan dua tahun sekali dan diperhebatkan pada sambutan hari kekasih, kemerdekaan dan tahun baru,” katanya. Menurutnya, bagi pasangan yang tidak didakwa pada malam itu, mereka perlu mengikuti ‘Kursus Masih Ada Yang Sayang’ kelolaan Jais selama sehari pada waktu ditetapkan.


“Bagi mereka yang didakwa selepas didapati bersalah pula perlu menghadirkan diri ke Kursus Bimbingan Rohani yang diadakan tiga hari dua malam,” katanya.

Semua pasangan dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun ditahan dibawa balik ke ibu pejabat Jais untuk diambil keterangan dan diikat jamin sebelum dibebaskan. Katanya, pasangan disyaki berkhalwat didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kecuali seorang lelaki bukan Muslim dan jika sabit kesalahan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menangisteresak-esakelakditahan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...