Friday, September 17, 2010

Merempat di kaki lima

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
2010/09/17

IPOH: Kesempitan hidup memaksa seorang wanita merempat di kaki lima dan taman permainan awam serta pekarangan hospital sejak enam bulan lalu selepas dihalau daripada rumah sewanya di Jalan Mustapha Al Bakri di sini kerana tidak mampu membayar sewa.

Sepanjang merempat di situ, dia berdepan pelbagai cabaran, termasuk diganggu kumpulan penagih dadah yang menyangkanya pelacur sehingga dia terpaksa mencari lokasi baru setiap malam untuk melelapkan mata.

Dia kini menumpang bilik sewa yang dihuni seorang kenalan di rumah kedai berdekatan rumah sewa lama bersama seorang cucunya berusia tujuh tahun yang juga murid di sebuah sekolah rendah di bandar raya ini.


Normah Asinar, 51, yang juga seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah menengah di sini tidak pernah mengecap hidup selesa selepas terbabit kemalangan dirempuh ‘Mat Rempit’ setahun lalu menyebabkan kaki kanannya tidak bermaya sehingga doktor mengesyorkan supaya menggunakan tongkat sepanjang hayat untuk berjalan.


“Saya turut dikategorikan Orang Kurang Upaya (OKU) berikutan kecederaan kekal itu. Doktor pernah memberi amaran jika saya berjalan tanpa tongkat, saya mungkin berdepan kemungkinan lumpuh sebelah kaki.


“Namun, apa saya boleh buat, jika saya pakai tongkat.....majikan tidak akan membenarkan saya bekerja. Saya terpaksa gagahkan diri bekerja bagi menampung kos pengajian cucu, Muhammad Zainawi Abdullah yang kini belajar di tahun satu,”
katanya.


Katanya, dia sendiri terpaksa merayu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan dan bersyukur kerana di terima walaupun terpaksa menahan kesakitan sepanjang masa.


Normah berkata, gaji sekitar RM500 diterimanya tidak mencukupi kerana sebahagiannya digunakan untuk menampung kos pendidikan Muhammad Zainawi dan perbelanjaan rawatan kaki dua kali sebulan di hospital.


“Apa yang saya perlukan ialah rumah bagi membolehkan cucu saya mendapat ruang pembelajaran selesa. Kami tidak mahu wang tunai mahupun sumbangan harta benda melainkan sebuah rumah,” katanya.


Katanya, dia mula mengambil alih menjaga cucunya itu selepas anak sulungnya, Siti Nur Ain Talib, 21, menghilangkan diri dipercayai lari ke Kuala Lumpur ketika Muhammad Zainawi masih bayi.


Malah, ketika menginap di rumah sewa lamanya, dia juga terpaksa menjaga seorang anak lelaki, Mohamad Kamarulzaman Talib, 17, yang juga OKU.

“Disebabkan tiada tempat tinggal, saya terpaksa menghantar Mohamad Kamarulzaman ke rumah bekas suami di Pulau Pangkor,” katanya.


Sebelum ini, Normah pernah mendapat liputan akhbar ini selepas cucunya gagal mendapat peluang belajar kerana tidak memiliki surat beranak.


Bagaimanapun, selang seminggu kemudian, Normah mendapat khabar gembira selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak mengesan semula sijil kelahiran kanak-kanak terbabit.


Menurut Normah, biarpun memasuki sekolah pada pertengahan tahun, cucunya itu tidak mempunyai masalah mengikuti sesi pembelajaran bersama murid lain.

Katanya, dia berharap kesempitan hidup dialaminya kini mendapat perhatian pihak berkaitan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Merempatdikakilima/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...