Thursday, September 23, 2010

Kedai ubat reput tulang

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/09/23

KUALA LUMPUR: Puluhan peniaga kedai ubat-ubatan tradisional haram dan produk kecantikan tidak berdaftar hanya mampu ‘terkejut beruk’ apabila premis mereka sepanjang Jalan Chow Kit di sini, ‘digempur’ puluhan pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pagi semalam.

Operasi kira-kira pada jam 11 pagi itu, kebanyakan peniaga terbabit langsung tidak dapat menghidu kehadiran pegawai penguat kuasa farmasi KKM yang melakukan pemeriksaan serentak terhadap 11 kedai di kawasan berkenaan.

Operasi diketuai oleh ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM, Ahmad Zaki Ramli bersama 50 anggota selepas pihaknya mendapati kawasan terbabit masih menjadi lokasi ‘panas’ pengedaran ubat tradisional seludup serta tidak berdaftar.


Kehadiran serentak pegawai penguat kuasa farmasi berkenaan menimbulkan kehairanan peniaga kebanyakannya warga Indonesia yang sebelum ini menggunakan khidmat tonto bagi memberikan amaran awal kepada mereka.


Operasi terbabit disasarkan terhadap puluhan jenis ubat tradisional yang kebanyakannya diseludup masuk dari Indonesia membabitkan jamu, pil rangsangan seks, ubat sakit tulang dan sendi dan puluhan jenis produk tidak berdaftar.


Difahamkan walaupun ubat sakit sendi atau tulang terbabit didakwa dihasilkan menggunakan herba atau ginseng, namun ujian makmal sebelum ini mendapati ubat terbabit sebaliknya dicampur dengan kimia kodein dan steroid yang boleh menyebabkan reput tulang jika digunakan berlebihan.


Malah produk ubat-ubatan seks yang dirampas bukanlah dihasilkan dari sumber tumbuh-tumbuhan melainkan ia hanya mengandungi kimia berbahaya seperti sildenafil atau pelbagai kimia asing antaranya plumbum atau merkuri yang turut boleh memberi kesan kepada kesihatan.


Turut dirampas adalah produk melangsingkan tubuh jenama Lami yang diharamkan KKM berikutan mengandungi kimia sibutramine yang boleh merosakkan sistem saraf tubuh.


Zaki yang ditemui berkata, operasi terbabit kerap kali dilakukan berikutan penjual dan pemborong ubat seludup di kawasan terbabit ingkar dengan amaran pihaknya supaya tidak menjual produk kesihatan tidak berdaftar. “Hasil daripada pemeriksaan dilakukan pegawai farmasi menemui lebih 50 jenis ubat tidak berdaftar yang kebanyakannya diseludup dari negara jiran.


Menurutnya, pemeriksaan mendapati kebanyakan produk kesihatan haram terbabit menawarkan khasiat untuk menyembuhkan sakit sendi dan sakit kepala, menguatkan tenaga batin, mengurus tubuh dan membesarkan payu dara.

Antara jenama jamu yang dirampas pula adalah Pil Tupai Jantan, Jaya Asli Anrat, Flu Tulang dan Cicungya, Busterin, Super Tetra, Kapsul Super Tenaga, Jamu Pendang, Maajun Kuat, Maajun Putra Acheh Cap Keris, Jamu Monalisa, Ubat Kuat Madu Pasak Bumi, Pil Pria Perkasa dan Pil Asrirapat.

Selain produk dari negara jiran itu, pegawai farmasi turut merampas beberapa jenis produk ubat-ubatan tidak berdaftar buatan tempatan antaranya air ikan Haruan, maajun 2 istimewa, Raja Ubat Resdung dan pelbagai jamu pil papan yang diharamkan sejak sekian lama penjualannya.

“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan pemilik syarikat boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. “Malah tindakan sama boleh diambil mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1985. Individu yang melakukan kesalahan mengikut peraturan itu boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya,” katanya.


Sementara itu, pegawai penguat kuasa farmasi yang menjalankan pemeriksaan rapi turut menemui satu stor tersembunyi yang digunakan oleh salah seorang peniaga warga Indonesia untuk menyembunyikan pelbagai jenis ubat-ubatan dan produk tidak berdaftar.



“Pihak penguat kuasa farmasi menganggarkan semua produk yang dirampas berkenaan boleh mencecah sehingga RM200,000 mengikut nilai pasaran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kedaiubatreputtulang/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...