Oleh Murni Wan Omar
2010/09/23
HULU LANGAT: “Lega semuanya sudah berakhir, kini saya mahu beri tumpuan kepada anak-anak dan masa depan kami. Saya rela tidak makan asalkan mereka tidak merasa kesusahan,” kata Julia Daud, 29, yang juga bekas isteri kepada pelakon Badrul Muhayat ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
“Tidak dapat digambarkan perasaan saya, bercampur baur sedih dan gembira. Sedih kerana rumah tangga dibina selama ini terputus di tengah jalan dan bukan kehendak saya untuk jadi begini. Gembira kerana ia selesai secara baik selepas masalah ini memang menjadi beban hidup saya.
“Selepas ini saya mahu cari pekerjaan yang lebih baik untuk tanggung anak-anak, sebelum ini pergerakan saya terbatas. Saya mahu cari rumah lebih selesa dan tidak mahu diganggu,” katanya.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah, Julia yang memfailkan permohonan cerai melalui kebenaran mahkamah dengan Badrul, 42, pada 14 Julai 2010, mengakui ia dibuat selepas mereka sudah tidak lagi sefahaman.
Julia memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Pasangan itu berkahwin pada 9 Mei 2007 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Menjawab pertanyaan Abdul Halim, Julia sempat memaklumkan bahawa wang hantaran berjumlah RM7,777.77 masih belum dijelaskan Badrul.
ABDUL HALIM: Kenapa kamu mahu bercerai? Melalui afidavit ini kamu nyatakan tidak sefahaman lagi. Boleh jelaskan kepada mahkamah secara tepat supaya mahkamah mempunyai merit untuk memutuskannya?
JULIA: Kami selalu bergaduh dan dia ada memukul saya. Dia (Badrul) juga tidak mampu menyara nafkah saya dan anak-anak.
ABDUL HALIM: Kamu sudah fikir betul-betul?
JULIA: Ya.
ABDUL HALIM: Adakah kamu masih sayangkan dia?
JULIA: Tidak (sambil menggelengkan kepala).
ABDUL HALIM: Bagaimana dengan persetujuan mengenai nafkah, mutaah dan hak jagaan?
JULIA: Tidak ada.
ABDUL HALIM: Mahkamah harap kamu dapat berbincang dan menyelesaikan secara baik. Jika tidak ada penyelesaian, failkan di mahkamah.
Badrul ketika itu mencelah memaklumkan bahawa dia mahu diberikan hak untuk melawat anaknya.
ABDUL HALIM: Kamu boleh lihat anak kamu pada bila-bila masa. Walaupun hubungan suami isteri terputus, hubungan dengan anak kekal sampai akhir hayat. Saya lihat perkahwinan ini tidak wajar diteruskan. Ini kerana simbolik sesuatu perkahwinan adalah kasih sayang. Jadi dengan ini mahkamah meluluskan permohonan cerai dengan talak satu.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tidaksayang/Article
No comments:
Post a Comment