2010/09/18
PETALING JAYA: Bagi membolehkan polis melakukan siasatan dengan lebih terperinci, tempoh tahanan reman peguam dua beradik dan seorang lelaki suspek kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati bersama tiga rakannya dilanjutkan selama tujuh hari.
Peguam berkenaan yang juga ahli perniagaan berusia 41 tahun dan disyaki dalang utama kes pembunuhan kejam dan ngeri itu dibawa bersama adiknya dan juga seorang lagi suspek ke perkarangan balai polis terbabit.
Tinjauan Harian metro mendapati suspek utama itu terlebih dulu dilihat tiba di balai polis terbabit, kira-kira jam 10 pagi dengan iringan dan kawalan empat anggota polis berpakaian preman.
Kira-kira setengah jam kemudian, dua lagi suspek berbaju oren dipercayai adik peguam terbabit bersama seorang pekerjanya masing-masing berusia 38 dan 45 tahun, turut dibawa memasuki perkarangan balai polis sama dengan kawalan ketat anggota polis bertugas. Mereka kemudian dibawa ke bilik mahkamah tertutup bagi mendapatkan tempoh tahanan reman yang berakhir semalam untuk membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut dan lebih terperinci membabitkan kes pembunuhan kejam itu.
Ketika dibawa, suspek utama terbabit sempat berkata: “Don’t do this, I’m not involved,” (Jangan buat begini, saya tidak terbabit) ketika dia cuba mengelak gambarnya daripada dirakam ketika berada di pusat tahanan sementara terbabit.
Bagaimanapun, kata-kata amaran itu tidak diendahkan petugas media yang menunggu sejak jam 8 pagi untuk terus merakam wajah semua suspek walaupun mereka dilihat cuba menutup wajah dengan baju.
Semua mereka dilihat berada di dalam bilik mahkamah tertutup itu selama satu jam diawasi lebih 10 anggota polis bertugas sebelum dibawa keluar secara berasingan, kira-kira jam 11 pagi.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dalam sidang medianya berkata, laporan lengkap siasatan kes bunuh jutawan kosmetik dan tiga rakannya dijangka dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara minggu depan selepas pihaknya yakin polis berjaya mengumpul bukti kukuh untuk mengheret suspek ke muka pengadilan.
Dalam kejadian 30 Ogos lalu itu Sosilawati, 47, pengasas rangkaian produk kecantikan Nouvelle Visages; pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Morib sebelum abu mayat mereka dibuang ke Sungai Panchau.
Semua mangsa dilaporkan hilang selepas bertemu suspek utama yang juga peguam dan ahli perniagaan di Banting. Berikutan itu suspek bersama adik lelakinya, juga peguam dan enam pekerja mereka ditahan bagi membantu siasatan dalam kes terbabit.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KesbunuhSosilawati_Remantigasuspekutamadilanjuttujuhharilagi/myMA/myArticle/
No comments:
Post a Comment