Tuesday, September 28, 2010

Pasangan Kutip Wang Kutu Mengaku Tak Bersalah

Published: Selasa September 28, 2010 MYT 12:21:00 PM
Updated: Selasa September 28, 2010 MYT 1:53:08 PM

Oleh SALWA SHA'ARI


SHAH ALAM: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Selasa, atas pertuduhan menggunakan perniagaan mereka untuk mengutip wang kutu.

Sabbri Yusof, 49, dan Rahimah Rahim, 39, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.

Mereka didakwa sebagai pemilik Perniagaan World Heritage Resources di nombor 3, Jalan Keluli AM 7/ AM, Pusat Perniagaan Bukit Raja, Seksyen 7, di sini, telah menggunakan perniagaan itu untuk menganjurkan kutipan wang kutu yang dikenali sebagai Program Ekspress.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 Disember 2008 dan 29 April 2010 dan perbuatan tersebut adalah dilarang di bawah Akta Kumpulan Wang Kutu 1971.

Justeru itu, mereka didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Sesyen 3 akta sama yang boleh dihukum di bawah seksyen yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Steve Chin Yun Cheong.

Hafizah menetapkan sebutan semula kes pada 2 November depan untuk pasangan tersebut melantik peguam bagi mewakili mereka.

Difahamkan, syarikat tersebut memperoleh kutipan sehingga RM30 juta daripada 30,000 orang ahli.

Syarikat yang berdaftar dengan SSM sebagai ejen komisyen am juga didakwa menawarkan pelbagai jenis pelaburan dengan jumlah maksimum RM369,000.

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/9/28/mstar_mahkamah/20100928122026&sec=mstar_mahkamah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...