Selasa September 28, 2010
Oleh IZRA ABD RAHMAN
KUALA LUMPUR: “Kami mungkin akan meneruskan proses tuntutan sejumlah wang tersebut atas dasar permintaan ibu. Mungkin ia pemintaan terakhir ibu, jika tidak, takkan dia bersungguh-sungguh untuk mendakwa dan membuat tuntutan.”
Demikian jelas anak sulung Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya iaitu Erni Dekritawati Yuliana Bukhari yang mengulas mengenai tuntutan wang pemberian sebanyak RM1.38 juta daripada bekas suami ibunya, Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 50.
Bagaimanapun, tambah Erni Dekritawati atau lebih dikenali sebagai Rita berkata, keputusan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan selepas dia dan adik-adiknya sepakat membuat keputusan mengenainya.
“Kami adik-beradik sudah berbincang tentang perkara ini malam tadi (Ahad) dan masih lagi berbincang.
“Sekarang masih belum ada keputusan dibuat dan saya tak dapat beritahu apa-apa. Apa-apa pun kena tunggu keputusan adik-beradik dulu, barulah boleh ” katanya.
Dia berkata demikian semasa menjadi tetamu eksklusif program ‘Kerusi Panas’ terbitan Bernama Radio24 pada Isnin.
Anak-anak Allahyarham selain Rita ialah Erwan Suwari Ridzuan, 24, Erni Erinawati Sofea, 21 tahun, Md Erwan Nasri, 23, Erni Reenilawati, 20, dan Siti Nur Fatimah, 13.
Pada 26 Ogos lalu, Hakim syarie, Mohammad Adib Husain membenarkan permohonan itu dan perbicaraan mengenai tuntutan Sosilawati yang akan disambung pada 2 dan 3 Februari tahun depan.
Bekas penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash berkahwin dengan Sosilawati, 47, pada 16 November 2006 sebelum bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 26 Mei 2009.
Sosilawati kemudiannya memfailkan tuntutan agar wang pemberian sebanyak RM1.38 juta dikembalikan kepadanya manakala dua pertiga daripada keuntungan, bonus dan dividen daripada saham-saham turut diberikan kepadanya.
Dalam pada itu, Rita memberitahu, mereka adik-beradik tidak menghadapi masalah dengan bekas bapa tiri mereka itu.
Dalam pada itu, mengenai tindakan bapa tirinya sekarang yang juga seorang ahli perniagaan dari Indonesia yang enggan mendedahkan identiti kepada umum, dia berkata menghormati pendirian beliau.
“Saya menghormati privasi yang bapa tiri saya mahukan. Mungkin cara itu boleh buatkan dia tenang,” katanya.
Seperti mana mereka adik-beradik menjalin hubungan baik dengan Nash, begitu juga hubungan yang terjalin dengan bapa tiri mereka.
Malah, bapa tirinya itu juga menjadi penasihat dan tempat rujukan untuk sebarang keraguan atau masalah yang timbul.
Sementara itu, wanita itu turut memberitahu tentang hasrat arwah ibunya yang ingin melihat perniagaan mereka disenaraikan di bursa saham.
“Itu adalah harapan ibu saya sebenarnya. Kita tengoklah bagaimana nanti. Mungkin dalam masa dua tahun akan datang,” katanya.
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/28/mstar_berita/20100927230327&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment