Friday, September 10, 2010

Peguam ada rekod jenayah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Ibrahim Isa, Noriah Idris dan Mary Victoria Dass

2010/09/10

KUALA LUMPUR: Seorang peguam yang kini diburu polis berhubung kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dikatakan berstatus Datuk dan berusia dalam lingkungan 40-an.

Peguam itu dikatakan pernah berjumpa dengan beberapa VIP di Selangor untuk membincangkan mengenai urusan jual beli tanah.


Menurut sumber polis, Sosilawati memang mengenali peguam terbabit kerana pernah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengannya sebelum ini untuk membincangkan urusan pembelian tanah.


“Sebelum ini, Sosilawati pernah beberapa kali berjumpa dengan peguam terbabit membincangkan mengenai urusan jual beli tanah dan kali terakhir pada awal Ogos lalu.


“Namun pertemuan kali terakhir pada 30 Ogos lalu bertukar misteri apabila Sosilawati dan peguam terbabit turut hilang begitu saja,”
katanya.


Selain Sosilawati yang juga Pengasas Nouvelles Visage, tiga lagi individu bersamanya iaitu pembantu peribadi, Kamarudin Samsudin, 47, pegawai bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, turut ghaib ketika mahu berjumpa peguam berkenaan.


Sumber itu juga mendakwa, peguam itu yang kini amat dikehendaki dalam kes kehilangan Sosilawati dipercayai mempunyai rekod jenayah berkaitan kes penipuan di Selangor.


“Difahamkan, peguam itu juga pernah memberikan cek bernilai RM1 juta kepada Sosilawati, baru-baru ini. Cek itu mungkin ada kaitan dengan urusan beli tanah antara mereka, namun ia hanya boleh ditunaikan pada September ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya memerlukan untuk membantu siasatan sehingga terungkainya misteri kehilangan Sosilawati.


Beliau berkata, memandangkan Sosilawati dan tiga lagi yang lain dilaporkan hilang di Banting, Selangor pihaknya memang ada menerima maklumat daripada penduduk tempatan yang boleh digunakan untuk membantu siasatan.


Namun, katanya, semua maklumat diperoleh itu diserahkan kepada polis memandangkan kes berkenaan disiasat oleh mereka.

“Dalam kes membabitkan orang hilang, polis Selangor memang ada terbabit memberi bantuan jika mempunyai maklumat, begitu juga pasukan polis dari kontinjen lain.


“Kes Sosilawati tidak terkecuali apabila kita sentiasa menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa jika ada perkembangan,”
katanya selepas melawat pos kawalan Ops Sikap Ke-22 di Batu 20, Bukit Berdarah, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peguamadarekodjenayah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...