Friday, September 10, 2010

'Rela makan nasi bergaram'

Oleh Mary Victoria Dass

2010/09/10

JOHOR BAHRU: “Kami rela makan nasi bercampur garam di pondok usang kami berbanding ke rumah saudara yang tidak pernah memberi layanan mesra,” kata remaja, Kamaruzaman Rahmat Kamal, 17, semalam.

DAIF...Kamarulbahrin (dua dari kiri)  dan Kamaludin melihat abang mereka, Kamaruzaman melukis komik di depan pintu pondok usang.
DAIF...Kamarulbahrin (dua dari kiri) dan Kamaludin melihat abang mereka, Kamaruzaman melukis komik di depan pintu pondok usang.
Anak sulung daripada tiga beradik itu menceritakan pengalaman menyambut lebaran dilalui sejak beberapa tahun lalu dan masih terluka dengan sikap dingin saudara-maranya memandang rendah kemiskinan keluarganya.

Menurutnya, meskipun mereka mengunjungi kediaman beberapa saudara- mara dengan harapan mampu meraikan Aidilfitri dengan meriah selepas kematian ibunya lebih lapan tahun lalu, namun hajat itu tidak pernah kesampaian.

Katanya, bagi memastikan pertalian persaudaraan tidak terputus, bapanya yang bekerja sebagai pemandu teksi gantian sanggup meminjam wang daripada rakan bagi menampung kos balik ke kampung di luar Johor Bahru.

“Malangnya, kehadiran kami tidak pernah disenangi di mana kami adik-beradik dipandang rendah kerana tidak mampu memakai baju raya atau kemas seperti sepupu lain.

“Malah, pengalaman yang tidak dapat saya lupakan apabila kami tidak diberi layanan hingga terpaksa minum bekalan air kosong dari rumah biarpun terdapat pelbagai juadah raya dimasak di situ,”
katanya yang menambah keluarganya masih bergantung kepada air hujan untuk memasak dan mandi kerana tidak mempunyai kemudahan bekalan air.

Malah, pondok usang dihuni mereka di kawasan tanah paya bakau bersebelahan Taman Sri Pandan tidak mempunyai bekalan elektrik hingga memaksa mereka menggunakan lilin pada waktu malam.

Kamaruzaman berkata, bagi mengelakkan perkara sama berulang, tahun ini bapanya dan dua adik lelakinya, Kamarulbahrin, 16 dan Kamaludin, 9, mengambil keputusan meraikan Aidilfitri di pondok usang mereka.

Menurutnya, meski pun menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kekurangan dengan hanya memakan nasi putih bersama serbuk kari, mereka masih bersyukur berbanding terpaksa menempuhi situasi mengguris hati di kediaman saudara-mara.

“Kami yang menghuni di rumah yang ditinggalkan kosong di tanah paya bakau berhampiran Taman Sri Pandan lebih setahun lalu tidak mampu melakukan sebarang persiapan raya melainkan membersihkan pondok yang hanya menunggu masa menyembah bumi.

“Hanya dengan wang RM20 diperoleh jualan lukisan komik ciptaan saya kepada rakan sekolah, kami membeli sekampit beras biarpun berkeinginan memakan ketupat dan rendang hari ini,”
katanya.

Kamaruzaman yang belajar di tingkatan lima berkata, biarpun keluarganya pernah memohon rumah penduduk pendapatan rendah sebelum ini, mereka tidak memperoleh sebarang maklum balas.

“Ayah menjadi pemandu teksi gantian memperoleh pendapatan RM10 hingga RM15 sehari di mana dengan wang itu menampung perbelanjaan persekolahan saya dan dua adik,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...