Tuesday, September 21, 2010

Tak boleh beri tempoh

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee, Shamsul Munir Safini, Suraya Roslan, Hamizah Badiran dan Abdullah Wahab

2010/09/21

KUALA LUMPUR: Penggunaan analisis Asid Deoksiribonukleik (DNA) dalam mengenal pasti mangsa dalam sesuatu kes jenayah kadangkala menghadapi kesukaran dari segi pengesahan identiti mangsa.

Antara kesukaran dihadapi adalah tempoh masa diperlukan menjalankan profiling DNA ke atas bukti ditemui, termasuk cebisan tulang dan sampel rambut yang ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Pengarah Jabatan Kimia, N Hithaya Jeevan, berkata ini termasuk pengesahan menggunakan DNA dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga rakannya, baru-baru ini.


“Kita menjangkakan profil DNA (kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya) itu akan disiapkan dalam masa terdekat ini. Bagaimanapun, kita tidak boleh meletakkan tempoh tertentu untuk menyerahkan profil DNA terbabit kepada polis.


“Jangka masa profil (DNA) untuk disiapkan bergantung kepada berapa banyak bahan bukti serta penemuan ditemui di lokasi kejadian,”
katanya.


Beliau berkata, jabatan itu sebelum ini pernah mengendalikan kes rumit dan mengambil masa lama memperoleh keputusan profil DNA seperti kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu serta kes bunuh, rogol dan bakar penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong.


“Kedua-dua kes itu juga mempunyai kerumitan untuk mendapatkan keputusan DNA tepat (bagi setiap kes). Kami perlu mengikut protokol antarabangsa digariskan,” katanya.


Menurutnya, dengan enam tenaga pakar forensik terlatih di jabatannya, beliau berharap ia dapat mempercepatkan keputusan profil DNA kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain sekali gus dapat menyelesaikan kes pembunuhan itu.


“Jika keputusan ini sudah diperoleh, kita akan rujuk kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.


Polis kemudian mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar manakala abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting dekat sini.


Berikutan itu, Unit Forensik Polis menemui beberapa objek termasuk serpihan tulang dan sampel rambut yang dipercayai bahan bukti bagi kes pembunuhan itu dan menghantar sampel terbabit Jabatan Kimia untuk analisis minggu lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Takbolehberitempoh/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...