Tuesday, September 21, 2010

Hati berdetik




Oleh Iskandar Shah Mohamed

2010/09/21


SEREMBAN: Persoalan menyelubungi keluarga bayi perempuan berusia tiga bulan yang meninggal dunia selepas dihantar ibu bapanya ke sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Paroi di sini, semalam.




HIBA...Zadariah yang sebak ditenangkan ahli keluarga, semalam. Gambar kecil, mangsa.

Difahamkan, bayi malang yang juga cucu kepada Timbalan Pengerusi Tetap Wanita Umno Bahagian Seremban, Zadariah Ismail, 57, itu dikatakan ditemui pengasuh dalam keadaan sejuk dengan seluruh tubuhnya kebiruan dalam buaian di pusat asuhan terbabit.

Menurut Zadariah, sebelum pergi mengajar di dua sekolah berasingan sekitar daerah ini, ibu bapa bayi berkenaan, pasangan guru, Airul Anuar Abdul Aziz, 30, (anak Zadariah) dan Nurhida Md Nor, 26, menghantar bayi mereka ke pusat berkenaan, kira-kira jam 7 pagi.

“Saya yang sedang mengemas rumah tersentak apabila menerima panggilan daripada kakitangan pusat asuhan itu memaklumkan keadaan luar biasa cucu yang terlalu lemah dengan tubuhnya kebiruan, kira-kira jam 12 tengah hari.

“Berikutan itu, saya dan suami, Abdul Aziz Ismail, 59, bergegas ke situ dan membawa cucu ke sebuah klinik berdekatan untuk rawatan.

“Namun, selepas doktor bertugas gagal membantu cucu melalui bantuan pernafasan selama lebih 30 minit, saya diminta segera ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut,”
katanya ditemui di Bilik Mayat HTJS, di sini.

Menurutnya, dia amat terkejut dengan kejadian berkenaan kerana cucunya itu dilihat riang dan ceria ketika kali terakhir bertemu pada majlis rumah terbuka di kediamannya di Taman Paroi Jaya, di sini, kelmarin.

“Hati ini bagaimanapun seolah-olah sudah terdetik akan kehilangan seorang cucu disayangi ketika mendukungnya keluar dari pusat asuhan terbabit.


“Selain keadaan badan yang sejuk, beberapa kesan lebam di tangan dan hitam di kedua-dua telinga turut dilihat pada bayi berkenaan,”
katanya.

Kata Zadariah, ibu bapa Nur Azwa yang menetap di sekitar Sikamat di sini, mendirikan rumah tangga Jun tahun lalu dan jenazah bayi berkenaan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Paroi Jaya, hari ini.

Airul Anuar yang kelihatan sugul pula berkata, dia tidak pasti punca sebenar kejadian itu dan menyerahkannya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, seorang pengasuh pusat berkenaan yang enggan dikenali berkata, pihaknya turut kecewa dengan insiden berkenaan yang pertama kali berlaku sejak 10 tahun beroperasi.

Menurutnya, kira-kira jam 10 pagi, dia menyusukan bayi berkenaan sebelum meletakkannya semula ke dalam buaian.

“Bagaimanapun, ketika mahu memandikannya dua jam kemudian, saya terkejut melihat tubuh bayi itu kebiruan dan segera menghubungi hospital serta ahli keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Md Yusoff Awang, ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Kami masih menunggu laporan penuh bedah siasat, dan kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hatiberdetik/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...