Sunday, October 3, 2010

12 jahitan di kepala

Oleh MOHAMAD HUSSIN
mohamad@hmetro.com.my
2010/10/02

ALOR SETAR: Akibat menegur pelajar lain yang membuat bising di dalam kelas, seorang pelajar lelaki terpaksa menerima 12 jahitan di kepala selepas dihentak dengan kerusi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung, di sini, Khamis lalu.

Difahamkan, pelajar terbabit yang tidak berpuas hati dengan mangsa terus menolak dan menyepak mangsa dengan kaki di bahagian badan sehingga Mohd Syafiq jatuh terduduk.


Pada masa sama, seorang lagi rakan pelajar itu terus mengambil kerusi lalu menghentak kepala mangsa, menyebabkannya tersungkur.


Sebelum kejadian, guru wanita yang mengajar subjek Bahasa Malaysia masuk ke dalam kelas berkenaan namun keluar sebentar kerana ada urusan lain.


Mohd Syafiq berkata, dia cuma menegur seorang pelajar yang membuat bising sehingga mengganggu keselesaan pelajar lain.


Menurutnya, seorang rakannya terus membawa dia ke pejabat bagi memaklumkan pihak sekolah berhubung kejadian itu.


“Seorang guru membawa saya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana cedera serius di kepala.


“Saya menerima 12 jahitan dan pemeriksaan mendapati ada pendarahan dalam otak,”
katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.


Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Aziz Shaari, 46, berkata dia terkilan kerana guru sekolah mengajar anaknya berbohong kerana enggan memberitahu kejadian sebenar kepada hospital.


“Guru terbabit berpesan jika pihak hospital bertanya mengenai punca kejadian, beritahu disebabkan jatuh tangga.


“Saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada hari sama kejadian,”
katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghaffar Rajab ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/12jahitandikepala/myMA/myArticle/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...