2010/10/02
KUALA LUMPUR: “Arwah tidak mempunyai harta, namun apa yang ditinggalkan kepada saya tidak ternilai harganya. Ilmu agama yang diturunkan dan meminta saya mengamalkannya menjadi wasiat paling tidak ternilai buat saya,” kata isteri kedua pelakon popular, M Rajoli, Wan Chik Daud, 70.
Kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, dia hanya berdiam diri sambil memikirkan mengenai suaminya.
“Sejak bermulanya Ramadan, saya dapat mengagak dia akan pergi meninggalkan saya selama-lamanya. Bagaimanapun, saya reda dengan pemergiannya.
“Saya bersyukur dia pergi menghadap Ilahi dengan penuh kesempurnaan. Segala hutangnya dibayar terlebih dulu, malah setiap satu kehendaknya ditunaikan Allah.
“Niat arwah mahu menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat tertunai jua.
“Malah, keinginannya mahu melihat anaknya bergelar tahfiz al-Quran juga berjaya apabila anak bongsunya menamatkan pelajaran dalam bidang berkenaan.
“Jadi, saya reda dengan pemergiannya lebih-lebih lagi segala impiannya berjaya dicapai,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Chik terkilan kerana arwah tidak sempat melihat dia dan madunya, Hashimah Md Din, 55, berbaik semula.
“Walaupun kami mempunyai masalah dan tidak bertegur sapa sehingga kini, saya tetap tidak mahu berdendam. Malah, niat saya mahu berbaik ketika arwah masih ada juga tidak tercapai.
“Namun, hati saya sentiasa terbuka jika kami berbaik semula walaupun selepas arwah pergi menghadap Ilahi. Bagaimanapun, hubungan saya dan arwah tidak pernah mempunyai masalah,” katanya.
Menurut Wan Chik, dia bersyukur kerana Tuhan menghantar arwah kepadanya untuk dijadikan suami.
“Walaupun dia tidak berharta, namun bagi saya dia adalah jutawan akhirat yang penuh dengan ilmu agama. Sebab itu, saya begitu kasih kepadanya dan bukan kerana harta atau popularitinya sebagai pelakon,” katanya sebak.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/WanChikterkilan/myMA/myArticle/
No comments:
Post a Comment