KUALA LUMPUR: Hanya linangan air mata dan ratapan sendu dapat menggambarkan kesedihan hati seorang ibu malang selepas mengetahui anak gadisnya yang hilang enam tahun lalu hidup dalam kedaifan dan tinggal merempat di bawah jambatan.
Wanita terbabit, Siti Rohani Abdullah, 52, dari Ladang Sungai Selarut, Segamat, Johor, hanya mengetahui nasib malang anaknya, Siti Faizah Abu Bakar, 27, dan suami, Hazmain Abdul Jalil, 28, bersama anak mereka, Siti Norafidah, setahun lima bulan selepas menonton televisyen, kelmarin.
“Saya tak sangka sampai begitu kesusahan dan kepayahan yang dialami mereka sekeluarga. Sejak dia keluar rumah kerana berlaku sedikit perselisihan faham antara kami, saya tak pernah terima khabar berita walaupun berusaha menjejaki mereka melalui rakan dan telefon bimbit Siti Faizah,” katanya ketika ditemui di Pusat Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia di sini, semalam.
Semalam, Harian Metro melaporkan tiga beranak berkenaan terpaksa tinggal di bawah jambatan Lebuh Raya Timur Barat (Metramac) bersama dua rakan Hazmain, Mohd Hafiz Abdul Aziz, 30 dan Chan Che Wah, 44, sejak lima bulan lalu. Menurut Hazmain, mereka tiada pilihan lain, selain daripada tinggal di bawah jambatan selepas dihalau pemilik rumah yang disewanya dengan harga RM200 di Sungai Besi, di sini, lima bulan lalu. Pertemuan yang diatur Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Umno Seputeh dan Segamat serta Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda Umno (Sheb) itu bertambah syahdu apabila Siti Rohani memaklumkan kepada anaknya mengenai berita kematian bapanya Julai lalu akibat serangan sakit jantung.
Katanya, arwah suaminya, Abu Bakar Sulaiman, 54, pernah menyuarakan hasrat mencari dan bertemu dengan anak keenamnya itu sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Arwah ada cakap dengan saya nak jumpa dengan Siti Faizah dan berazam untuk menjejaki anak kami ini walau dengan apa cara sekalipun, namun, saya tak sangka dia pergi bersama kerinduan itu,” katanya.
Siti Faizah berkata, dia sedih kerana tidak sempat menemui arwah bapanya untuk memohon keampunan atas kesilapan lalu, namun bersyukur masih diberi kesempatan untuk bertemu ibu kandungnya.
“Syukur kerana emak sudi berjumpa. Saya mahu mohon ampun dan maaf atas kesalahan dan kesilapan lalu dan berharap emak bersama keluarga terutama adik beradik yang lain dapat menerima kami semula. Terima kasih kepada Pemuda Umno dan pihak media yang banyak membantu kami,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, selepas menerima panggilan daripada Siti Rohani, pihaknya terus merancang pertemuan itu bagi memastikan hajat si ibu tertunai.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ayahrindusampaimati/Article/index_html
No comments:
Post a Comment