Tuesday, October 26, 2010

Pondok usang tempat berteduh

MELAKA: Empat beranak di Kampung Pokok Mangga, di sini, hidup dalam serba daif apabila tinggal di pondok usang akibat dibelenggu kemiskinan.

Junita Jaafar, 30, berkata, pondok berkenaan dibina atas tanah milik ibu mentuanya yang didiami bersama suami, Borhan Ibrahim, 35, dan dua anak perempuan mereka berusia lima dan lapan tahun, sejak dua tahun lalu.


Menurutnya, walaupun tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air, mereka perlu membiasakan diri kerana tidak mempunyai pilihan lain.


“Saya terpaksa mendapatkan bekalan elektrik dengan menyambung wayar menerusi rumah kakak ipar bersebelahan, manakala untuk mandi pula perlu mengambil air paip di rumah abang ipar berikutan kami sekeluarga hidup kemiskinan disebabkan suami tiada kerja tetap.

“Dengan pendapatan tidak seberapa kerana saya bekerja di kilang membuat batu nesan menyebabkan kami empat beranak tinggal dalam keadaan berhimpit dalam pondok usang berkenaan selain tiada kemudahan dapur untuk memasak,” katanya.


Tinjauan Harian Metro mendapati keadaan pondok berkenaan yang tidak mempunyai bilik sememangnya terlalu usang dengan sebahagian dindingnya ditampal papan lapis.

Selain itu, bahagian ruang tamu dijadikan tempat tidur keluarga terbabit mempunyai satu katil usang dengan berlantaikan tanah saja.


Sementara itu, Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kesidang, Mohd Zailani Mohd Ali berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada keluarga berkenaan sebelum ini.


Bagaimanapun, katanya, atas arahan Pengerusi Japerun terbabit, Datuk Latiff Tamby Chik, pihaknya membuat permohonan segera kepada Unit Pembangunan Desa (UPD) dalam usaha membantu keluarga terbabit mendapatkan rumah PPRT.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pondokusangtempatberteduh/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...