Thursday, October 21, 2010

Britain berjimat cermat



GEORGE OSBORNE (kanan sekali) bercakap dengan David Cameron (kiri) dalam mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri 10 Downing Street di tengah London semalam.


LONDON - Ketua Perbendaharaan Britain, George Osborne memberitahu, kerajaan akan melakukan potongan perbelanjaan awam terbesar sejak Perang Dunia Kedua dengan memotong faedah-faedah dan pekerjaan sektor awam dalam pelan jimat cermat selama lima tahun.

Osborne mengesahkan bahawa beliau telah mengarahkan potongan perbelanjaan awam sebanyak £83 bilion (RM406 bilion) sehingga tahun 2015.

Potongan itu dianggap perlu selain kadar cukai ditingkatkan untuk mengurangkan defisit perbelanjaan yang mencecah £156 bilion (RM765 bilion) pada tahun lalu.

Beliau menyatakan pemotongan itu akan meliputi hampir semua bentuk perbelanjaan kerajaan.

Usia persaraan juga bakal dilanjutkan kepada 66 tahun menjelang tahun 2020, empat tahun lebih awal daripada apa yang dirancangkan.

Tindakan itu mampu memberi penjimatan sehingga £5 bilion (RM24.3 bilion) setahun.

Sebanyak 500,000 kerja sektor awam akan dikurangkan. Bayaran kebajikan dikurangkan dan puluhan program kerajaan yang telah dijadualkan sebelum ini turut dibatalkan. Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II turut menerima kesannya apabila bajet isi rumah diraja dipotong sebanyak 14 peratus dalam tempoh empat tahun.

"Ia tindakan yang sukar, tetapi membawa masa depan yang lebih baik," kata Osborne dalam satu kenyataan mengenai pelan ekonomi jangka panjang yang cukup ditunggu-tunggu itu.

Ratusan diplomat Britain juga akan kehilangan pekerjaan di bawah pemotongan bajet Kementerian Luar sebanyak 24 peratus.

Beberapa kaji selidik dan protes yang berlaku baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat Britain kurang senang dengan pemotongan bajet tersebut.

Kelmarin, beratus-ratus anggota kesatuan pekerja berikrar untuk menentang pelan Osborne dengan berarak ke bangunan Parlimen. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...