Thursday, October 21, 2010

Curi emas ibu demi kekasih

KEMAMAN - Seorang remaja perempuan sanggup mencuri barang kemas milik ibunya semata-mata untuk membayar sejumlah wang jaminan teman lelakinya yang ditahan kerana ditangkap berkhalwat di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 9 Oktober lalu, remaja berusia 17 tahun yang juga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di sini telah mencuri tiga utas gelang emas, satu utas rantai emas dan dua bentuk cincin milik ibunya yang kesemuanya bernilai hampir RM10,000.

Perkara itu disedari oleh ibu pelajar terbabit selepas mendapati kesemua barang kemas yang disimpan di bawah tilam di bilik tidur di rumahnya di Taman Wan Adnan, Kertih dekat sini telah hilang.

Si ibu yang berusia 57 tahun itu mengesyaki kehilangan barang kemas itu adalah perbuatan anak gadisnya kerana hanya pelajar itu yang mengetahui tempat menyimpan barang kemas tersebut.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, wanita itu kemudian membuat laporan polis apabila anaknya itu enggan mengaku mencuri barangan tersebut.

"Remaja itu yang dipanggil oleh polis untuk siasatan kemudian mengaku telah mencuri kesemua barangan kemas itu dengan niat untuk mendapatkan duit bagi menjamin kekasihnya yang ditahan di lokap kerana kesalahan berkhalwat," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, pelajar itu memberitahu, semua barang kemas yang dicuri itu kemudian telah digadaikan dan sebahagian wang gadaian itu telah digunakan untuk menjaminkan kekasihnya yang ditahan.

Pasangan muda itu sebelum ini telah ditahan kerana berkhalwat di Dungun.

Bagaimanapun, selepas siasatan, pelajar itu telah dibebaskan manakala si lelaki ditahan untuk siasatan lanjut.

"Selepas selesai siasatan, lelaki itu dibenarkan bebas dengan sejumlah wang jaminan menyebabkan si pelajar perempuan itu terpaksa mencuri barang kemas milik ibunya bagi mendapat duit menjamin kekasihnya," kata beliau.

Kata beliau, pelajar itu mendakwa dia kemudian menyerahkan baki semua wang gadai barangan kemas tersebut kepada kekasihnya selepas kekasihnya dibebaskan.

"Pelajar itu kerap ponteng sekolah dan tidak pulang ke rumah kerana menginap di rumah teman lelakinya di Dungun," kata beliau.

Sehubungan itu, kata beliau, polis kini sedang mengesan teman lelaki pelajar itu yang berusia 20 tahun untuk siasatan lanjut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...