Monday, October 4, 2010

Derita askar

2010/10/04

KUALA LUMPUR: “Kami perlu melunaskan yuran pengajian anak sulung sebanyak RM2,850 selewat-lewatnya minggu depan, jika tidak dia tidak boleh menduduki peperiksaan akhir.

“Malah, notis juga sudah diterima supaya tunggakan tempat penginapannya selama tiga bulan dijelaskan,”
kata bekas tentera yang runsing memikirkan masa depan anaknya.

Azmi Mahmud, 45, berkata tambah membingungkan dia tidak mampu membayar yuran berkenaan kerana hanya isterinya, Fatimah Abdullah, 41, menjadi tulang belakang keluarga bagi menyara mereka enam beranak selepas dia terbabit dengan kemalangan jalan raya sejak tiga tahun lalu.


Katanya, kemalangan berkenaan menyebabkannya terlantar hampir dua tahun kerana tulang keting kaki kanannya patah dua, selain patah tulang punggung dan mengalami kerosakan tulang belakang.


“Bukan saya tidak mahu bekerja namun, kemalangan itu menyebabkan saya tidak mampu berdiri dan berjalan apatah lagi untuk melakukan kerja bagi menyara keluarga.


Pendapatan isteri RM1,000 sebulan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Malah dua daripada empat anak kami kini melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam dan swasta,”
katanya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, di sini, semalam.


Menurutnya, biarpun dia menerima bantuan dari Persatuan Bekas Tentera Malaysia dan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebanyak RM300 sebulan, namun ia digunakan untuk menyara seorang lagi anaknya yang masih bersekolah dan seorang anaknya yang kurang upaya.


Dia yang kini hanya mampu berkerusi roda dan bertongkat berkata, selain memikirkan yuran pengajian anak sulungnya, mereka kini turut berdepan dengan bekalan air dipotong kerana gagal membayar bil dan sewa rumah selama tiga bulan.


“Sekurang-kurangnya kami perlu memperuntukkan RM600 sebulan untuk perbelanjaan dua orang anak yang sedang melanjutkan pengajian. Anak saya ada membuat permohonan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) namun ia masih belum diperoleh.


“Saya ada memohon bantuan daripada Baitulmal, namun ia masih dalam proses untuk ditemuduga. Nasib saya baik kerana anak-anak faham keadaan kami, apa juga makanan yang dihidang mereka makan tanpa bersungut,”
katanya.


Tidak hanya sukar bergerak dan menghidap darah tinggi, Azmi turut menghidap penyakit kencing manis sehingga mengakibatkan kakinya menjadi bengkak dan hitam.

“Syukur biarpun kami hidup dalam kesusahan, namun anak-anak menunjukkan potensi dalam bidang pendidikan,” katanya merayu bantuan orang ramai.


Bantuan boleh disalur ke nombor akaun CIMB 14380062817521 milik Azmi Mahmud atau menghubunginya di talian 014-2214270.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Deritaaskar/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...