Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
2010/10/04
JOHOR BAHRU: Seorang ibu tidak menyangka tindakan anak gadisnya berusia 17 tahun melaram dengan berhias diri serta memakai seluar jeans dan berbaju-T ketika menunaikan solat Isyak di kediaman mereka di Kampung Melayu Baru, Gelang Patah, di sini, Khamis lalu, adalah rancangan gadis terbabit untuk melarikan diri bersama kekasih.
Salina Salleh, 41, berkata, dia terkilan apabila mendapati anaknya, Nazlia Mohamed Azlan Putra menghilangkan diri dari kediaman mereka sejurus azan Subuh keesokan harinya (Jumaat).
Menurutnya, hanya selepas kejadian dia dan suami faham mengenai perubahan sikap Nazlia berpakaian pelik seolah-olah mahu keluar bersiar-siar walaupun ketika menunaikan solat bersama-sama.
“Kami tidak menduga kejadian seperti itu berlaku memandangkan hampir dua bulan saya dan suami mengawasi kegiatannya di dalam mahupun di luar rumah kerana sedar cubaan teman lelaki Nazlia mempengaruhinya supaya melarikan diri.
“Saya sanggup bersengkang mata menjaga Nazlia dan melarang dia bertemu lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit, termasuk menghalang mereka berkomunikasi menerusi telefon bimbit,” katanya.
Menurut Salina, ini bukan kali pertama Nazlia melarikan diri dari rumah kerana sebulan lalu, perkara sama dilakukan gadis itu dengan seorang daripada teman lelakinya.
Bagaimanapun, Nazlia berjaya ditemui hasil maklumat seorang kenalan keluarga mereka.
Salina sekeluarga semakin bimbang dengan perlakuan Nazlia kerana dia terus hanyut dengan gelora cinta, malah sanggup melarikan diri buat kali kedua.
“Selepas azan Subuh pagi kejadian, kami dapati Nazlia sudah tiada di biliknya dan pemeriksaan mendapati barangan peribadi miliknya juga di bawa bersama.
“Kami cuba mencarinya di kawasan sekitar, tetapi hanya menemui motosikal ditunggangnya ditinggalkan di hentian bas Gelang Patah,” katanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya pada hari kejadian.
Pemeriksaan pada telefon bimbit Salina mendapati nombor tidak dikenali dan rujukan pada buku nota Nazlia, nombor berkenaan milik teman lelakinya yang hanya dikenali sebagai Rin.
Menurut Salina, keluarganya yakin Nazlia termakan kata-kata manis yang dikirim Rin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa pengetahuan mereka ke telefon bimbitnya.
Sementara itu, bapa Nazlia, Mohamed Azlan Putra Omar, 48, berkata, dia ada menghantar SMS kepada Rin bertanyakan keadaan anaknya dan lelaki terbabit mengakui gadis berkenaan kini bersamanya.
“Bagaimanapun, Rin enggan memberikan alamat dengan alasan Nazlia enggan pulang. Selepas dipujuk barulah lelaki terbabit memaklumkan mereka berada di sebuah rumah di kawasan Felda di Kota Tinggi.
“Jika benar mereka menyukai antara satu sama lain, kami tidak menghalang, tetapi biarlah Nazlia pulang ke rumah dulu. Urusan seterusnya biarlah keluarga menyelesaikannya mengikut agama serta adat,” katanya.
Pada masa sama, Mohamed Azlan turut berharap Nazlia menamatkan kursus pengurusan komputer diikuti di Pusat Giat Mara sejak tiga bulan lalu sebelum memutuskan untuk berkahwin. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nazlia diminta menghubungi talian 016-7360978, 014-3868532 atau balai polis berhampiran.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Helahgadislarambaju/Article
No comments:
Post a Comment