mohamad@hmetro.com.my
2010/10/08
SONGKHLA (Selatan Thailand): Pernikahan pasangan luar terutama rakyat Malaysia di Songkhla tidak akan diiktiraf jika menggunakan khidmat sindiket ‘nikah ekspres’ atau jurunikah tidak bertauliah kerana Majlis Agama Islam wilayah Songkhla (Mais) sudah mengeluarkan arahan hanya pejabatnya di sini, sebagai tempat pernikahan yang sah berkuat kuasa 16 September lalu.
Berikutan itu, pasangan yang bernikah selain daripada di pejabat Mais di Jalan Klonghaedi di sini, dianggap tidak sah.
Yang Dipertua Mais, Zakaria Saleh berkata, peraturan baru itu dikeluarkan kerajaan Thailand berikutan banyak aduan mengenai kekeliruan serta pemalsuan sijil nikah.
“Selepas ini, pasangan yang bernikah selain daripada di pejabat Mais, tidak sah dan tidak diiktiraf kerana hanya kami mengeluarkan sijil nikah sah dan asli.
“Kami menerima banyak aduan dan rungutan daripada pasangan yang tidak berpuas hati apabila mendapati sijil nikah mereka palsu kerana mereka bernikah menggunakan sindiket atau jurunikah tidak bertauliah,” katanya ditemui di sini, kelmarin.
Menerusi peraturan baru itu, semua pasangan luar yang mahu bernikah di Thailand tidak lagi dibenarkan melakukannya di daerah lain di selatan negara itu seperti Padang Besar, Danok, Patani, Sadao dan Narathiwat supaya pernikahan itu diiktiraf dan didaftarkan dengan Konsulat Malaysia di Songkhla.
Zakaria berkata, terdapat 30 jurunikah bertauliah Mais yang menjalankan tugas mereka di pejabat Mais setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 4 petang.
Menurutnya, jurunikah yang menikahkan pasangan di luar pejabat Mais akan dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat dan mengingatkan pihaknya serius mengendalikan isu pernikahan ini.
“Kami mendapati banyak masalah berlaku sebelum ini kerana tiada sistem sistematik menyebabkan banyak pihak keliru hingga ada pasangan terperangkap dengan sindiket pernikahan palsu.
“Sebelum ini ada pasangan datang untuk melaporkan perkahwinan mereka tetapi menghadapi masalah kerana sijil nikah palsu dan tidak diperakui Mais selain menyebabkan banyak kerumitan kerana kami terpaksa membuat siasatan kesahihan pernikahan mereka sebelum ia didaftarkan dengan Konsulat Malaysia di Songkhla,” katanya.
Selain itu, pasangan yang tidak cukup syarat bermastautin dalam jarak sekurang-kurangnya 90 kilometer (km) dari masjid Mais diwajibkan berurusan dengan Mais yang akan menentukan lokasi lebih sesuai bagi melangsungkan pernikahan.
“Hanya 30 jurunikah bertauliah dibenarkan menikahkan pasangan di masjid Mais. Jika ingkar, mereka akan dipecat serta-merta.
“Bagi pasangan yang tidak cukup syarat iaitu tinggal tidak sampai 90 kilometer dari sini, diwajibkan berurusan dengan Mais dan kami akan menetapkan lokasi sesuai sebelum menikahkan mereka,” katanya.
Menurut Zakaria, pihaknya tidak sewenang-wenangnya menikahkan pasangan sebaliknya meneliti dokumen pasangan kerana sijil nikah perlu diserah kepada konsulat Malaysia di Songkhla untuk pengesahan.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, antara Januari hingga Mei lalu, pihaknya menerima 1,321 permohonan rakyat Malaysia yang berkahwin di situ.
“Daripada jumlah itu, rakyat Malaysia yang berkahwin sesama warganegara ialah 999 permohonan, pasangan Malaysia-Thailand (186), Malaysia-Indonesia (19), Malaysia-Pakistan (18) dan Malaysia-Bangladesh (dua permohonan).
“Tahun lalu, kami menerima 2,172 pengesahan pernikahan, 2008 (2,342 permohonan); 2007 (1,944); 2006 (845); 2005 (314); 2004 (55); 2003 (98); 2002 (67) dan 2001 (73).
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/HanyasahdiSongkhla/Article
No comments:
Post a Comment