Friday, October 8, 2010

Tumpang rakan takut lewat

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
2010/10/08

KUALA LUMPUR: Seorang suami yang cemburu buta bukan saja sanggup menyepak terajang isterinya, malah turut memukul wanita malang itu menggunakan topi keledar di khalayak ramai sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius, kelmarin.

Difahamkan, wanita berusia 26 tahun itu menerima lebih 10 jahitan di kepala kerana dibelasah suaminya yang berusia 30 tahun itu itu selain lebam seluruh badan.


Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi berhampiran Taman Midah, mangsa yang menerima bantuan orang ramai terpaksa dihantar ke hospital selepas mengalami pendarahan serius di kepala.


Menurut sumber, semuanya bermula apabila mangsa yang sedang membonceng motosikal untuk pergi bekerja di sebuah kilang terpaksa memberhentikan kenderaannya kerana tayar pancit.


“Mangsa yang sudah terlewat bagaimanapun bernasib baik apabila seorang lelaki yang juga rakan setugasnya turut menggunakan jalan sama untuk pergi bekerja terserempak dengan wanita itu.


“Rakan mangsa berusia lewat 20-an itu kemudian mempelawa mangsa untuk menaiki motosikalnya kerana mereka sudah terlewat untuk pergi bekerja.


“Selepas mempertimbangkan tawaran itu selain mengetahui tiada bengkel motosikal yang dibuka ketika itu, mangsa akhirnya bersetuju,” katanya.


Beliau berkata, ketika dalam perjalanan mangsa dan rakannya tiba-tiba dihalang suami wanita berkenaan yang dikatakan sedang mencari kedai makan selepas baru pulang dari bekerja pada sebelah malam.


“Suami mangsa yang dalam keadaan marah terus memarahi isterinya itu. Walaupun, rakan mangsa cuba menerangkan situasi sebenar, suspek tidak mempedulikan sebaliknya mengarahkan lelaki itu diam sekiranya tidak mahu dibelasah.


“Tersentak dengan ugutan suspek, rakan sekerja mangsa hanya berdiam diri sebelum berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri itu.


“Suspek yang tidak dapat menerima penjelasan isterinya itu menampar, menyepak terajang mangsa,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tumpangrakantakutlewat/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...