Sunday, October 31, 2010

Ibu tua terbiar

Oleh ARIFIN SALLEH

ALOR GAJAH: Dia mempunyai enam anak berusia 20 hingga 50 tahun, tapi semuanya memilih untuk membawa haluan masing-masing hingga menyebabkan hidup si ibu dalam kedaifan.

Itu nasib K Puspathy, 75, warga emas yang hanya bergantung dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk meneruskan kehidupannya di sebuah rumah usang sejak beberapa tahun lalu.


Dia yang menetap di Kampung Machap Baru, dekat sini, tinggal seorang diri di rumah usang yang menunggu masa untuk rebah ke bumi selepas mendiang suaminya meninggal dunia beberapa tahun lalu.


Puspathy berkata, kehidupannya mula berubah selepas kesemua anaknya tidak tinggal bersama dengannya, sekali gus menyebabkannya sentiasa merenung nasib diri pada sisa-sisa usia.

Menurutnya, walaupun menyedari keadaan rumah yang diduduki sejak 35 tahun lalu itu tidak selamat, dia tidak mempunyai pilihan lain selepas kediaman lamanya diambil bagi pembinaan empangan.


“Saya terpaksa tinggal di rumah ini kerana tiada rumah lain, selain biasa dengan keadaan ini. Walaupun rasa kurang selesa, apa boleh buat kerana ini saja tempat yang ada selagi saya masih hidup.

“Sebelum ini saya ada memohon bantuan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin tetapi tiada tanah untuk menyokong permohonan. Jika mohon pun belum tentu boleh dapat, menyebabkan tiada pilihan selain terpaksa tinggal di rumah usang ini.


“Cuma saya masih bernasib baik apabila berjiran dengan sebuah keluarga Melayu yang banyak menghulurkan bantuan tanpa mengira warna kulit kerana mereka sentiasa mengambil berat keadaan saya yang tinggal seorang diri di rumah ini,” katanya ketika ditemui di sini.


Menurutnya, keadaan rumah itu memang teruk kerana terlalu usang dengan lantai semakin mereput, manakala bumbung pula bocor dan terpaksa ditutup menggunakan plastik sampah bagi mengelak basah jika ditimpa hujan.


Malah, katanya, lantai papan pecah di banyak tempat dan berlubang, manakala siling rumah bocor dan tidak selamat untuk didiami selain pernah beberapa kali dimasuki ular sawa dan binatang liar.


“Semua bumbung dan siling bocor, kalau hujan lebat waktu saya tidur, saya terpaksa berlari turun ke bawah rumah sambil membawa bantal dengan kain selimut untuk berteduh.


“Apa lagi yang boleh saya lakukan kerana tidak mampu bekerja kecuali mengharapkan wang bantuan, dan tinggal bertemankan beberapa ekor binatang peliharaan bagi menghilangkan kesunyian, tetapi perlu sentiasa cekal untuk meneruskan hidup.


“Lagipun, saya biasa dengan keadaan di sini. Bila angin kencang, bumbung rumah bergegar dan pasti ada dinding atau bumbung tertanggal, malah papan lantai turut tercabut, tetapi saya nak pergi ke mana lagi, mahu mengharapkan anak, mereka pun jarang menjenguk,” katanya.


Jirannya, Harun Omar, 53, yang juga keluarga angkat kepada warga emas itu berkata, warga emas berkenaan pernah memohon rumah di bawah PPRT sejak dua tahun lalu, tetapi hingga kini tiada jawapan.


“Kalau tengok pada struktur rumah didiami Puspathy, memang tidak sesuai. Saya bukan apa, cuma khuatir kalau perkara tidak diingini berlaku terhadap dirinya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibutuaterbiar/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...