MANTAN Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke Hospital Epworth di Melbourne, Australia pada awal Oktober lalu bagi mendapatkan rawatan jangkitan kuman dalam dada.
Setelah dibenarkan keluar, Dr. Mahathir diletakkan di bawah pengawasan melalui penjagaan di rumah.
Khidmat tersebut, mengikut gambaran Dr. Mahathir yang ditulis dalam blognya, chedet.co.cc, membuatkan beliau berasa dijaga dengan baik seperti di hospital tetapi dalam suasana selesa di rumah dan di samping keluarga.
“Saya percaya khidmat seperti ini dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun,” ujarnya.
Manakan tidak, dengan adanya khidmat seperti itu, ahli keluarga yang menjaga pesakit dapat terus bekerja seperti biasa.
Mereka juga tidak perlu menanggung pelbagai kos seperti tol dan petrol atau caj bermalam di wad.
Malah, di Jerman, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Love On Wheels Healthcare Services Sdn. Bhd. (Love On Wheels), Mohan Kumar sudah ada 9,000 pengendali yang menawarkan perkhidmatan penjagaan perubatan bergerak.
Paling muda
“Ini menunjukkan penjagaan kesihatan mobil bukan perkara baru dalam industri perubatan di Eropah. Ia mungkin sudah berusia lebih 10 tahun di sana,” ujarnya.
Love On Wheels merupakan operator khidmat penjagaan kesihatan bergerak berintegrasi sepenuhnya yang pertama di Malaysia.
Ia beroperasi menggunakan tenaga dan kepakaran jururawat berdaftar, pakar fisiologi, pakar terapi pekerjaan dan pakar diet.
“Tidak lama lagi kami akan menambah perkhidmatan lain termasuk penjagaan pelegaan dan pendidikan keibubapaan,” kata Mohan.
Berpejabat di Kelana Jaya, Selangor, Love On Wheels sudah pun membuat lebih daripada 200 lawatan ke rumah pesakit di sekitar Lembah Klang sejak beroperasi awal tahun ini.
“Pesakit paling muda berumur lebih dua tahun. Dia mendapatkan rawatan terapi pertuturan.
“Pesakit paling tua pula berumur 93 tahun untuk rawatan fisioterapi.
“Jika sebelum ini dia terlantar di katil di rumah, sekarang dia sudah dapat berjalan,” dedah Mohan.
Kajian Health Services Research (HSR), Amerika Syarikat ke atas warga tua yang mendapatkan rawatan lanjutan di rumah juga mendapati biarpun kesan positifnya sedikit, namun corak pemulihan yang konsisten menjanjikan impak yang penting dalam perkembangan industri perubatan.
“Memang sudah terbukti penjagaan selepas rawatan di rumah meningkatkan kadar pemulihan pesakit.
“Mereka berada dalam persekitaran yang selesa, jadi kadar pemulihan sewajarnya lebih tinggi.
Kos
“Lagipun, keluarga ialah satu unit di Malaysia. Mereka tidak sepatutnya dipisahkan,” terang Mohan.
Berpendapat cabang perubatan ini amat penting dalam memastikan pesakit pulih dengan sebaiknya selepas mendapat rawatan, Mohan mencadangkan syarikat insurans supaya menghasilkan produk baru yang dapat meliputi penjagaan pesakit di rumah.
“Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini ada menyebut tentang pengecualian cukai sehingga RM5,000 ke atas perbelanjaan perubatan bagi ibu bapa pembayar cukai termasuklah untuk penjagaan di rumah atau pusat jagaan.
“Jadi syarikat insurans perlu menghasilkan produk yang bersesuaian yang dapat membantu orang ramai menggunakan peluang ini,” usulnya.
“Selain itu, syarikat yang merencana untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menderma ke rumah-rumah kebajikan dan sebagainya bolehlah mempertimbangkan sumbangan berbentuk penjagaan kesihatan seperti ini kepada warga emas di pinggir bandar dan sebagainya,” cadang Mohan
Hakikatnya, Mohan sendiri pernah menjadi penjaga pesakit.
“Saya melihat sendiri betapa sukar untuk arwah emak dan ayah saya bersiap setiap kali perlu berkunjung ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Ia sangat memenatkan bagi golongan berusia seperti mereka. Sampai di hospital mereka perlu menunggu giliran pula.
“Jadi dari situlah lahirnya Love On Wheels,” kata bekas akauntan ini.
Bagaimanapun, Love On Wheels tidak melibatkan perkhidmatan kecemasan atau penggunaan ambulans.
“Masa bukanlah faktor penting dalam kerja kami.
“Sebaliknya kami membantu memulihkan pesakit yang memerlukan rawatan seperti fisioterapi, kaunseling diet, terapi pekerjaan, terapi pertuturan, kaunseling psikososial, pengurusan luka, penjagaan pesakit berpenyakit kritikal dan sebagainya,” umum Mohan.
Menurutnya, kos purata untuk penjagaan atau rawatan di rumah yang disediakan ialah kira-kira RM100 sehari.
“Caj untuk perkhidmatan ini bergantung pada jenis rawatan yang diperlukan pesakit, kekerapan rawatan dan jangka masa keseluruhan rawatan.
“Keperluan pesakit akan dinilai dalam lawatan pertama ke rumah mereka.
“Dari situ barulah dapat ditetapkan jenis rawatan, tempoh rawatan dan kekerapan rawatan tersebut,” kongsinya.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_05.htm
No comments:
Post a Comment