KAJANG: Misteri kehilangan seorang ahli perniagaan yang diculik beberapa lelaki di hadapan rumahnya lebih setahun lalu terjawab apabila mayatnya yang sudah tinggal tulang selepas dipercayai dibunuh kejam ditemui ditanam berhampiran sebuah tanah perkuburan Cina di Broga, Semenyih di sini semalam.
Mangsa, Ravi Shanker Ramasamy, 42, sebelum ini diculik sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Taman Mahkota Cheras, menyebabkan isteri dan adik mangsa membuat laporan polis selain berusaha menggunakan hebahan media untuk menjejaki mangsa.
Bagaimanapun, pelbagai usaha dilakukan termasuk menawarkan wang ganjaran sebanyak RM60,000 oleh adik mangsa terdapat individu yang mampu memberi maklumat berhubung kehilangan mangsa ternyata gagal membuahkan hasil.
Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, penemuan lokasi mayat mangsa ditanam adalah hasil pengakuan seorang suspek kes pembunuhan yang kemudian membawa polis ke tempat dia menanam mayat mangsa.
“Suspek yang berusia lingkungan 30-an itu, membawa polis ke lokasi berdekatan dengan sebuah kawasan perkuburan Cina. Polis kemudian bertindak menggali kawasan yang ditunjukkan suspek dan satu rangka manusia yang masih ada sedikit cebisan tisu ditemui.
“Namun, tempoh mangsa disahkan mati dan berapa lama ditanam di situ masih belum dapat dipastikan lagi,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.
Menurutnya, suspek juga menunjukkan lokasi di mana sebuah kereta dibakar, dipercayai milik mangsa terbabit yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat mayat mangsa ditanam.
Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi isteri mangsa bagaimanapun tidak membuahkan hasil apabila beliau enggan memberi sebarang komen berhubung penemuan mayat itu selain berharap penemuan rangka manusia berkenaan bukan milik suaminya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rangkapeniagadiculiklebihsetahunditemui/Article/index_html
No comments:
Post a Comment