GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Gunung Merapi semalam menghamburkan lahar dan asap dengan mengeluarkan letusan terkuat.
Debu dari gunung itu berterbangan sehingga beberapa kilometer manakala askar-askar bertungkus-lumus memindahkan penduduk di kawasan sekitarnya.
Bagaimanapun, tiada laporan mengenai kematian dilaporkan manakala wanita menjerit dan kanak-kanak menangis semasa mereka dipindahkan dengan menaiki trak.
Beberapa buah rumah terbakar dan sejumlah bangkai lembu yang melecur bergelimpangan di cerun gunung itu.
"Ia merupakan letusan yang luar biasa tiga kali lebih kuat daripada letusan pertama pada 26 Oktober lalu," kata seorang ahli vulkanologi pemerintah, Surono.
Lebih 70,000 penduduk kampung sudah dipindahkan dari gunung tersebut.
Kawasan zon larangan diperluaskan 10 kilometer dari kawah gunung itu kepada 15 kilometer.
Letusan pertama Merapi terjadi kurang 24 jam selepas berlakunya tsunami di Kepulauan Mentawai di perairan Sumatera.
Dalam kedua-dua kes, operasi menyelamat dijangka mengambil masa selama beberapa minggu kemungkinan berbulan-bulan.
Di Kepulauan Mentawai, 1,300 kilometer dari Gunung Merapi, helikopter-helikopter dan bot menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa tsunami.
Bencana tsunami dan gunung berapi itu setakat ini telah meragut nyawa 470 orang. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
No comments:
Post a Comment