Thursday, November 4, 2010

SPR: Zakat atau tidak, beri wang dianggap sogokan


Hazlan Zakaria
Nov 3, 10
5:38pm

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan walau apapun penjelasan PAS mengenai wang yang diberikan kepada beberapa mualaf Orang Asli petang kelmarin, ia masih dianggap sebagai sogokan di bawah undang-undang.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar (tiga dari kiri) berkata, walaupun PAS mendakwa ia adalah zakat, tetapi di mata undang-undang, wang yang diberikan oleh siapapun kepada pengundi yang boleh mengubah undi mereka, dianggap rasuah mengikut Perkara 10 Akta Kesalahan Pilihan raya 1954.

Katanya, SPR telah memaklum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara itu.

"Mereka telah melihat video, dan mereka mungkin mengambil inisiatif untuk menyiasat kes ini," katanya dalam satu sidang akhbar di Gua Musang.

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada calon, pendudk Galas atau parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu untuk melaporkan kes tersebut supaya SPRM boleh mengambil tindakan.

Pengarah pilihan raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman hari ini menafikan laporan berkenaan dan menjelaskan bahawa pemberian wang oleh menteri besar kepada sebilangan masyarakat Orang Asli yang diislamkannya sebenarnya adalah wang zakat dan bukannya rasuah seperti didakwa.

"Saya diberitahu ia adalah wang zakat. Tok Guru mengislamkan tiga Orang Asli ini dan bagi wang zakat. Takkan zakat ini rasuah?" katanya dalam sidang media di markas jentera PAS.

Sementara itu, Bernama melaporkan Umno tidak akan masuk campur sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada mereka yang menerima wang daripada Menteri Besar Kelantan untuk melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan wang sumbangan secara terbuka kepada mualaf Orang Asli pada majlis mesra rakyat di Pos Sandrop, Gua Musang semalam bercanggah dengan apa yang dilakukan PAS sebelum ini.

"Biarlah dilaporkan oleh penerima itu sendiri, kita tidak mahu campur tangan urusan SPRM dan kita yakin SPRM mempunyai bukti dan fakta yang cukup,” katanya.


[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/147255

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...