KUALA LUMPUR: Sikap cemburu melampau terhadap teman wanita dituduh masih menjalin hubungan cinta dengan bekas suami menyebabkan seorang lelaki sanggup membelasah selain menghempuk telefon bimbit miliknya berulang kali ke muka teman wanitanya itu hingga berlumuran darah.
Dalam kejadian itu, suspek yang hilang pertimbangan kerana terlalu geram turut menendang perut kekasihnya itu tiga kali dengan alasan sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan itu lagi.
Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang kelmarin, ketika mangsa yang berusia 28 tahun sedang menaiki kereta bersama teman lelakinya itu berhampiran kawasan meletak kenderaan di Menara Berkembar Petronas KLCC, di sini.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pelayan restoran dikatakan sedang berbual mesra dengan kekasihnya itu sebelum tiba-tiba menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bekas suaminya.
“Suspek yang mengetahui mengenai SMS dihantar bekas suami mangsa kemudian bertindak memarahi kekasihnya itu yang dituduh masih berhubung dengan bekas suaminya. Tindakan itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.
“Suspek yang terlalu marah kemudian merampas telefon bimbit mangsa sebelum memukulnya berulang kali ke muka mangsa. Tidak cukup dengan itu perut mangsa turut ditendang,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera dipukul kemudian dipaksa menghubungi bekas suaminya itu untuk mengatur temu janji berikutan suspek mahu bersemuka dengan lelaki berkenaan.
“Berikutan bimbang terus dipukul, mangsa kemudian akur dengan arahan itu. Suspek kemudian membawa mangsa bertemu bekas suaminya yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini.
“Sebaik bertemu, kekasih mangsa dikatakan bertengkar pula dengan bekas suami mangsa yang dituduh sengaja mahu mengganggu hubungan cinta berkenaan. Bagaimanapun, mangsa yang kesakitan sempat beredar sebelum ke balai polis berhampiran membuat laporan,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang jurujual lelaki berusia 27 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa diugut seorang wanita membayar wang tunai RM10,000.
Mangsa dikatakan tertekan selepas gadis berusia 21 tahun terbabit meminta mangsa membayar wang berkenaan jika mahu laporan polis mengaitkannya dengan kes cubaan cabul kehormatan ditarik semula.
“Berdasar laporan sebelum ini, gadis berusia 21 tahun terbabit mendakwa pernah cuba dicabul ketika mangsa datang menghantar barang ke premis tempatnya bekerja di Jalan P Ramlee di sini, bulan lalu.
“Susulan laporan dibuat itu, polis menahan mangsa sebelum dibebaskan selepas keterangannya diambil. Bagaimanapun gadis terbabit didakwa menggunakan kesempatan itu untuk memeras ugut mangsa supaya membayar sejumlah wang bagi menggugurkan kes itu,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penangancemburu/Article/index_html
No comments:
Post a Comment