Sunday, December 5, 2010

Tiga penculik tumpas

Tiga penculik tumpas



Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my

TANGKAP... dua daripada tiga suspek ditahan reman dengan kes culik di Rawang.
TANGKAP... dua daripada tiga suspek ditahan reman dengan kes culik di Rawang.

RAWANG: Impian tiga penculik untuk bersenang lenang dengan wang tebusan bernilai RM30,000 tidak kesampaian apabila mereka ditumpaskan dalam serbuan Ops Scorpion, dekat sini, awal pagi semalam.

Rancangan mereka membebaskan mangsa culik iaitu seorang penuntut kolej swasta bagi mendapat wang tebusan terbabit memakan diri sendiri apabila tindak tanduk mereka dikesan polis.


Penuntut berusia 22 tahun itu diculik di depan rumahnya di Selayang Baru kira-kira jam 5.45 pagi pada 1 Disember lalu ketika menunggu rakan untuk ke kolej di Petaling Jaya. Dia dilarikan dua lelaki menaiki kereta.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, usaha menangkap penculik dibuat selepas keluarga penuntut perempuan itu menyerahkan wang tebusan di kawasan Bukit Bintang, jam 2.45 petang semalam.


“Keluarga menyedari kehilangannya apabila suspek menghubungi mereka beberapa jam selepas kejadian untuk meminta wang tebusan RM30,000,” katanya, semalam.


Beliau berkata, keluarga mangsa yang bimbangkan keselamatannya segera membuat laporan polis pada hari sama.

“Polis merancang dengan keluarga mangsa untuk menetapkan tempat dan waktu untuk menyerahkan wang,” katanya.


Selepas keluarga menyerah wang tebusan dan mangsa dibebaskan, pasukan pantau polis dalam operasi berkenaan mengekori tiga suspek dengan seorang lelaki menunggang motosikal manakala dua lagi suspek, termasuk seorang wanita, menaiki kereta Toyota Avanza.

Polis mengekori penculik terbabit hingga kira-kira jam 3.05 pagi sebelum suspek panik melihat polis.


Ini mengakibatkan kereta dipandu suspek terbalik pada jarak kira-kira 500 meter berdekatan Tesco Rawang.


Dua suspek ditahan manakala suspek yang menunggang motosikal ditahan berhampiran lampu isyarat di tempat kejadian.


Abdul Rahim mengesahkan suspek berumur lingkungan 20-an dengan seorang bekerja di kilang, pejabat peguam serta penganggur.


Mereka ditahan reman bermula semalam untuk membantu siasatan polis.


“Kami masih menyiasat motif penculikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1996, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Tigapenculiktumpas/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...