Friday, January 21, 2011

Chong Wei terkejut kehadiran sifu



MISBUN (kanan) yang muncul secara mengejut di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam sempat memberi tips kepada anak didiknya, Chong Wei.


JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terkejut dengan kehadiran 'sifunya', Datuk Misbun Sidek ketika dia dalam persiapan untuk turun beraksi pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2011 semalam.

Jangan kata Chong Wei, malah penyokong-penyokong negara yang hadir ke Stadium Putra, Bukit Jalil semalam turut terkejut dengan kehadiran Misbun.

Menariknya, kehadiran Misbun itu bagai dialu-alukan apabila menerima tepukan gemuruh daripada seluruh penyokong negara.

Sebelum ini, Misbun menggegarkan arena sukan badminton tanah air apabila membuat keputusan mengejut meletak jawatan selaku jurulatih pada 31 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, dengan kehadiran Misbun itu, mungkin ada cerita baru yang bakal 'disajikan' buat seluruh peminat badminton tanah air.

Apa yang penting, kehadiran Misbun sudah pastinya memberikan suntikan semangat buat Chong Wei yang dilihat tampil dengan aksi penuh bertenaga untuk menumbangkan lawannya di pusingan kedua.

Pada aksi semalam, turun selaku pemain pilihan pertama kejohanan, Chong Wei tidak berdepan halangan sukar untuk mengenepikan cabaran pemain Hong Kong, Hu Yun, 21-6, 21-9.

"Saya memang terkejut dengan kehadiran Misbun hari ini (semalam) tetapi apabila diingat kembali, beliau memang ada berjanji dengan saya untuk hadir ke stadium pada kejohanan kali ini.

"Saya gembira kerana beliau telah menunaikan janjinya kepada saya.

"Kini, apa yang saya harapkan, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dapat menyelesaikan isu peletakan jawatan Misbun ini dengan sebaiknya," jelas Chong Wei.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Chong Wei yang juga merupakan pemain No. 1 dunia mara ke peringkat suku akhir.

Pada aksi suku akhir hari ini, pemain berusia 29 tahun itu bakal berdepan Nguyen Tien Minh dari Vietnam.

Tien Minh mara ke peringkat suku akhir selepas melepasi cabaran Kazushi Yamada dari Jepun 21-18 21-18 pada aksi pusingan kedua.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...