Friday, January 21, 2011

Harga barang: Peniaga makanan turut terjejas

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 21 Jan: Jika selama ini kenaikan mendadak harga barangan keperluan tanpa kawalan dikaitkan dengan kesusahan orang ramai kerana terpaksa berbelanja lebih, namun keadaan yang sama juga turut menimpa pengusaha makanan asrama dan warung makan.

Melambungnya harga barangan keperluan perniagaan mereka di pasaran memaksa pengusaha makanan itu menanggung kos yang semakin besar setiap hari.

Bagi peniaga warung pula, masalah mereka ditambah lagi dengan cukai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang semakin tinggi.

Semua ini gara-gara kenaikan tiga kali harga minyak bermula November tahun lalu. Oleh kerana minyak merupakan bahan asas bagi tujuan pengangkutan dan penghantaran barangan, peningkatan kos operasinya diserap pula melalui menaikkan harga barang.

Seorang kontraktor pembekalan makanan asrama sekolah menengah di sini, Abdullah Sani Abdul Rashid, 50, berkata beliau terpaksa menanggung kerugian akibat kenaikan harga pelbagai barangan keperluannya secara mendadak.

Beliau yang membekalkan makanan ke tiga asrama di daerah ini berkata, hal ini tidak dapat dielakkan kerana kos sebut harga tender yang dimasukinya tahun lalu berdasarkan harga pada masa itu tetapi hampir semua barangan keperluan tersebut sekarang melambung tanpa kawalan.

“Sekarang harga ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran naik melambung. Begitu juga bawang, telur, barangan dalam tin, susu sejat dan susu krim naik di antara 20 sen hingga 30 sen. Paling memeranjatkan saya ialah harga santan yang pada hari biasa RM4 sekilo sekarang dah jadi RM12. Sebelum ini harga gula dan gas dah naik. Minyak masak pula susah nak dapat.

“Semua barangan tersebut mesti dibekalkan setiap hari sedangkan harga tender pula tidak boleh diubah lagi. Akibatnya terpaksalah menanggung kerugian,” keluhnya.

Tambahnya, selama ini dengan kenaikan harga barang orang ramai menyangkakan pembeli dan pengguna sahaja yang terjejas, sebaliknya peniaga seperti kamilah sebenarnya yang banyak terkesan kerana kami tidak ada pilihan lain.

Abdullah yang sudah lebih 15 tahun menceburkan diri dalam perniagaan tender pembekalan makanan, berkata pada ketika inilah terasa betul-betul getir dalam perniagaan dan berada dalam kesempitan kerana sejak awal tahun terpaksa mengeluarkan banyak belanja untuk persekolahan anak-anak.

Seorang peniaga warung ‘mi celup’ di bandar ini Jalaluddin Hassan, 40 berkata harga minyak yang tiga naik berturut-turut dululah yang menyebabkan harga barang melambung secara mendadak sehinggakan beliau terpaksa mengeluarkan modal makin besar setiap hari tetapi pulangannya semakin kecil.

“Antara barang yang naik ialah bawang, sayur-sayuran, ayam, rempah ratus dan santan. Semua itu asas barangan niaga saya. Jualan pula tak boleh naik sebab jika dinaikkan pelanggan akan lari. Kalau nak kurangkan bahan dalam masakan pula pelanggan akan komplen.

“Jadi terpaksalah tanggung untung yang semakin kecil. Sekarang ini berniaga bukannya dapat menyimpan duit, hanya sekadar lepas upah pekerja dan gaji harian sendiri saja,” luahnya.

Jalaluddin yakin melambungnya harga barangan keperluan ini disebabkan kenaikan harga minyak. Bila minyak naik barangan pun naik, walaupun kerajaan berjanji untuk mengawal tetapi ternyata gagal.

Sementara itu, kata Jalaluddin, peniaga sepertinya mempunyai tekanan lain pula iaitu cukai meja yang dikenakan Majlis Perbandaran Temerloh yang terlalu mahal. Katanya, untuk cukai meja sahaja berliu terpaksa memperuntukkan sebanyak RM20 sehari.

Jalaluddin berharap nasib peniaga sepertinya dipandang serius oleh pihak kerajaan kerana mereka juga penyumbang kepada ekuiti ekonomi orang Mekayu selama ini.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30466:harga-barang-peniaga-makanan-turut-terjejas&catid=54:negeri-pahang-darul-makmur&Itemid=99

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...