am@hmetro.com.my
PASIR PUTEH: Seorang wanita berusia 55 tahun yang tidak sampai 24 jam diceraikan, ternyata kemaruk nafsu apabila dicekup berkhalwat dengan pasangan berusia 34 tahun dalam serbuan di rumah warga emas berkenaan di Kampung Kuala Semerak, awal pagi semalam.
Serbuan ke atas kediaman wanita yang berstatus nenek tapi berselera muda itu dilakukan pasukan Skuad Amru bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) diketuai Ketua Operasinya, Ismail Yaacob, kira-kira jam 1 pagi, sebaik mendapat maklumat awam.
Ketika serbuan dilakukan, wanita itu yang mempunyai beberapa cucu sanggup berbohong dengan memberi alasan kononnya lelaki muda bersamanya di dalam bilik tidur itu suaminya.
Tindakannya itu nyata gagal meyakinkan penguat kuasa agama dan pasangan itu dibawa ke Pejabat Agama Pasir Puteh untuk diambil keterangan serta disoal siasat sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.
Ismail berkata, serbuan ke atas rumah terbabit dilakukan hasil maklumat orang ramai yang dikumpulkan sejak seminggu lalu berhubung kejadian khalwat yang didakwa membabitkan seorang wanita warga emas bersama pasangannya.
“Berikutan aduan yang diterima, rumah itu diserbu penguat kuasa agama yang mengetuk pintu rumah berkenaan beberapa kali sebelum dibuka seorang wanita warga emas dalam keadaan berkemban beberapa minit kemudian.
“Ketika siasatan dilakukan, wanita itu berdolak-dalik dengan mengatakan lelaki berseluar pendek yang tidur di biliknya adalah suaminya menyebabkan penguat kuasa mencurigainya,” katanya.
Katanya, tidak sampai lima minit disoal, wanita berkenaan menukar pengakuan dengan mendakwa dia tidak tahu menahu kehadiran lelaki berkenaan yang didakwa secara tiba-tiba berada dalam biliknya.
“Selepas disoal siasat, wanita itu mendakwa dia baru bercerai dengan suaminya kira-kira jam 5 petang kelmarin, menyebabkan pasangan berkenaan terus disiasat untuk dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Ismail berkata, tiada orang lain berada di dalam rumah berkenaan ketika serbuan dan sebagai warga emas, wanita itu tidak sepatutnya berkelakuan tidak senonoh sebaliknya perlu menjadi teladan kepada cucunya yang remaja.
Berikutan itu, katanya, pasangan berkenaan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Pasir Puteh, di bawah Seksyen 9(1)(2), Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan No 2/85 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
http://www.hmetro.com.my/articles/Kemaruklayanpucukmuda/Article
No comments:
Post a Comment