Tuesday, March 22, 2011

Apabila rakyat Saudi bangkit


Suhaimi Mokhtar

Momentum arus revolusi kebangkitan rakyat kini melimpah menuju ke Saudi Arabia. Di sebelah timur negara itu yang mempunyai penduduk majoriti Syiah rakyat telah bangkit berdemonstrasi di jalanraya beberapa hari lalu dan bertekad untuk mengadakannya secara besar-besaran pada hari Jumaat selepas solat Jumaat.

Demonstrasi yang diadakan setakat ini telah dapat dipatahkan oleh pihak berkuasa Saudi Arabia, tetapi ia tidak mematahkan semangat penganjur-penganjur yang mahu meneruskan tunjuk perasaan setelah mendapat inspirasi dari revolusi di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman dan seluruh Negara di Jazerah Arab yang lain.

Tiada sebuah negarapun yang akan terkecuali dari menerima bahana, tempias, bahang percikan api revolusi rakyat yang melanda seluruh jazerah Arab ini. Jika Saudi Arabia tidak terkecuali dari menerima percikan revolusi rakyat ini, maka tiada negara jazerah Arab lagi yang mampu membendungnya.

Kebangkitan rakyat di Saudi Arabia ,walaupun bermula di sebelah timur negara itu, tetapi ia mempunyai kepentingan tertentu kerana Saudi Arabia merupakan negara di mana terdapatnya dua kota suci umat Islam, Makkah dan Madinah yang menjadi destinasi kunjungan umat islam seluruh dunia sepanjang tahun untuk melakukan ibadah umrah dan mengerjakan ibadah haji setiap tahun pada musim haji.

Sebarang kebangkitan revolusi rakyat di Saudi Arabia tetap melibatkan umat Islam seluruh dunia kerana kedudukan stratijik Saudi Arabia sebagai yang sering diuar-uarkan oleh pemerintah Saudi Arabia bahawa mereka adalah pengawal haramain atau ‘dua tempat suci umat Islam’.

Di samping implikasi kebangkitan di Saudi Arabia melibatkan umat Islam seluruh dunia ia juga boleh dianggap mempunyai implikasi melibatkan dunia seluruh kerana Saudi Arabia merupakan negara pengeluar dan pembekal minyak yang terbesar didunia yang mengeksport petrolnya ke Amerika Syarikat (AS) dan ke negara-negara Eropah.

Di Saudi Arabia juga terdapatnya pengkalan tentera AS yang terbesar. Semua ini membawa implikasi apabila berlaku kebangkitan rakyat di negara yang kaya dengan minyak dan negara yang menjadi pengawal dua tempat suci umat Islam itu.

Kebangkitan rakyat yang bermula di sebelah timur negara itu tidak akan terhenti di wilayah itu sahaja. Ia menunggu masa sahaja untuk melimpah ruah seperti air banjir, merebak ke wilayah-wilayah lain tidak terkecuali Mekkah dan Madinah, dua tempat suci yang menyentuh hati nurani umat Islam. Perlu diingat Mekkah pernah mengalami kebangkitan beberapa dekad lalu, dalam peristiwa berdarah rampasan Masjidul Haram yang terdapat di tengah-tengahnya, Kaabah, kiblat solat umat Islam seluruh dunia, tetapi ia telah dapat dipatahkan dengan segera oleh pemerintah Saudi Arabia.

Tetapi kebangkitan kali ini amat berbeza dari kebangkitan beberapa dekad lalu. Kali ini ia adalah kebangkitan rakyat yang mendapat ilham dari kebangkitan yang melanda seluruh jazerah Arab.

Bukan setakat kebangkitan di Saudi Arabia sahaja yang membawa implikasi besar terhadap umat Islam di seluruh dunia, tetapi sebenarnya kebangkitan revolusi rakyat yang bermula di Tunisia dan kemudian diikuti di Mesir turut mempengaruhi lanskap politik negara umat islam seluruh dunia dimana sahaja mereka berada.

Revolusi rakyat di Tunisia dan Mesir walaupun telah berjaya menumbangkan Ben Ali dan Hosni Mubarak, dua rejim diktator yang zalim dan menindas rakyat, tetapi ia belum lagi selesai sepenuhnya. Reformasi yang didesak oleh rakyat belum lagi dipenuhi sepenuhnya dan banyak pihak kelihatan sedang cuba menghajick revolusi rakyat di kedua negara berkenaan.

AS dan sekutu baratnya cuba memilih calun yang dapat mewarisi pimpinan Ben Ali dan Mubarak supaya kesinambungan polisi berlaku di negara-negara itu untuk kepentingan survival rejim zionis Yahudi sebagaimana yang dipertahankan oleh Ben Ali dan Mubarak.

Kini muncul nama-nama calun presiden yang bakal bertanding dalam pilihanraya Mesir ,iaitu Amr Musa, Setiausaha Agong Liga Arab, Muhammad El-Baradie, bekas pengarah IAEA di bawah PBB yang menyelia projek nuklear negara anggota termasuk Iran. Kedua mereka ini dikenali di AS dan barat, mereka rapat dengan kepimpinan AS dan barat dewasa ini. Walaupun dijangkakan jika mereka ditakdirkan menarajui Mesir, mereka tidak akan memimpin sekejam Mubarak, kerana Mesir selepas Mubarak akan lebih demokratik dengan reformasi politik yang sedang berlangsung. Tetapi AS dan barat lebih senang dan aman berkerjasama dengan tokoh-tokoh yang mereka kenali.

Bagaimana pun,Mesir pasca Mubarak tetap tidak sama lagi seperti sebelumnya. Dalam perubahan lanskap politik baru Mesir, akan muncul tenaga Islam dalam kalangan kepimpinan Ikhwan Muslimin untuk menyertai pilihanraya demokratik yang akan menjadi kuasa penentu bagi politik Mesir. Inilah yang dibimbangi washinton dan kota-kota barat lain. Keadaan yang sama juga akan mengambil tempat di Tunisia. Nama Rachid Ghanuchi yang baru pulang dari buangan di London dijangkakan akan menyertai pilihanraya dan menjadi tenaga politik baru di Tunisia.

Belum pun revolusi rakyat di Mesir dan Tunisia mencapai matlamat sepenuhnya, kini revolusi rakyat di Libya sedang menghadapi ujian pahit apabila pemimpin Libya enggan tunduk kepada kuasa rakyat yang mengakibatkan huru-hara perang saudara berterusan hingga kini.

Ghadafi mendakwa Al-Qaeda menimbulkan kebangkitan rakyat di Libya,tetapi setakat ini tidak sepatah pun kenyataan yang keluar dari Osama Ben Ladin tentang penglibatan Al-Qaeda. Tangkapan terhadap beberapa orang yang dikatakan operator Al-Qaeda yang membuat pengesahan penglibatan mereka melalui media tidak boleh digunapakai kerana mereka mungkin diupah dalam perang saraf dan propaganda yang sedang berlangsung sekarang antara kumpulan pro dan anti Ghadafi.

Campurtangan AS dan kuasa barat terutama Peranchis dan Britain yang akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan PBB, zon larangan penerbangan di langit Libya akan memberi Ghadafi senjata yang dimahukannya untuk menyeret bahawa kuasa-kuasa ini terlibat dalam menim bulkan kebangkitan rakyat di Libya. Ini sementelah lagi apabila Peranchis dan Britain telah mengiktiraf Majlis Nasional di Benghazi yang anti Ghadafi sebagai pemerintah baru Libya.

Perang saudara yang makin meluas diLibya sekarang menyebabkan kebangkitan revolusi rakyat di Yaman, Bahrian, Jordan, Oman, Algeria, Maghribi dan lain-lain negara tenggelam dipintas oleh apa yang sedang berlaku di Libya.

Hakikatnya kebangkitan yang berlaku di bumi-bumi umat Islam berkenaan tidak kurang panas dan gentingnya, apabila rakyat yang bangkit menolak percubaan pihak berkuasa negara-negara berkenaan yang cuba bertolak ansor dengan memenuhi beberapa tuntutan revolusi rakyat.

Di Yaman, kebangkitan rakyat menolak reformasi yang cuba diperkenalkan oleh Presiden Ali Abdullah Salleh untuk mengadakan pilihanraya parlimen yang nanti bakal menentukan presiden repablik itu. Mereka menyatakan konsesi itu terlalu kecil dan telah terlambat. Mereka mahukan Ali Abdullah meletakkan jawatan dan mereka tidak akan berkompromi dari tuntutan itu. Desakan dan agitasi yang serupa dihadapkan kepada pemerintah Bahrian dan beberapa negara lain yang sedang bergolak.

Ketika konflik perang saudara terus berlangsung di Libya, kebangkitan rakyat di negara-negara persekitaran jazerah Arab itu akan berterusan apabila pemerintah-pemerintah ini mempertahankan pemerintahan masing-masing dan menolak agitasi rakyat.

Di Saudi Arabia pakej rangsangan dan bantuan ekonomi berjumlah berbilion dollar untuk rakyat dan kenaikan gaji tidak dapat membendung kemarahan rakyat terhadap pemerintahan keluarga di raja Saudi Arabia. Tetapi pemerintah Saudi Arabia telah memberi amaran untuk bertindak tegas terhadap sebarang percubaan untuk membangkitkan revolusi rakyat di Saudi Arabia.

Mampukah pemerintah Saudi Arabia menanggani dan sekaligus membendung kebangkitan? Saudi Arabia dijangka akan bertindak keras dan tegas terhadap sebarang kebangkitan rakyat dan amaran untuk memotong jari-jari mereka yang cuba menimbulkan kebangkitan telah dikeluarkan oleh Menteri Luar Saudi, Putera Suad Al-Faisal baru-baru ini.

Pemerintah Saudi Arabia memang mengharamkan sebarang tunjuk perasaan di negara beraja itu dan baru-baru ini pemerintah negara itu mengeluarkan kenyataan keras menolak sebarang campurtangan asing dinegara itu. Kenyataan itu dikatakan ditujukan kepada Iran dan bagi menjawab kenyataan Setiausaha Luar AS, Hillary Clinton yang menegaskan bahawa rakyat Saudi berhak untuk menyuarakan haknya melalui demonstrasi aman.

Lihat nanti bagaimana Saudi Arabia menanggani kebangkitan rakyatnya dan bagaimana pula sikap AS dan barat terhadap tindakan keras dan tegas sekutu kuatnya dalam membendung kebangkitan rakyat Saudi yang mahukan reformasi di semua bidang termasuk politik, ekonomi, kebebasan dan hak rakyat untuk bersuara.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31394:apabila-rakyat-saudi-bangkit-&catid=94:global2&Itemid=135

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...