Friday, March 4, 2011

Betul ke PAS tak ada isu di Kerdau


Dr Dzulkefly Ahmad

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, sama ada sememang hidup dalam penafian atau memang tidak tahu. Apabila beliau dengan sombong menyatakan bahawa pembangkang tak ada isu, beliau sememangnya mahu berbohong kepada rakyat amnya dan pengundi Kerdau khususnya.

Kalau benar bagai dek kata, beliau wajar menggunakan ruang kempen di PRK N28 Kerdau ini untuk memperagakan segala kejayaan kerajaan Pahang. Kalau kerja dah dibuat dan rakyat dah diberi khidmat yang cemerlang, apa perlu sibuk untuk mengumumkan projek-projek ‘mee-segera’ termasuk yang perlu diumumkan oleh Perdana Menteri sendiri yang terpaksa turun pada hari pertama lagi sehingga terpaksa mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada warga Felda di Kerdau.

Adnan sepatutnya perlu sedar dan insaf bahawa di bawah kepimpinannya Pahang telah mengalami defisit belanjawan untuk 13 tahun berturut-turut. Rakyat Pahang juga mengingatkan Menteri Besarnya bahawa kerajaan negeri sedang menganggung bebanan hutang sebanyak RM2.17 bilion mengikut Laporan Ketua Audit Negara yang mutakhir.

Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini banyak menyentuh tentang kelemahan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Adnan Yaakub. Ianya merangkumi pelbagai skop. Ayat yang kerap diulangi dalam Laporan tersebut ialah..Pada pendapat Audit…..adalah tidak memuaskan kerana…..Ini menyangkut pelbagai skop dan aspek pembangunan, sama ada yang berkaitan projek sakit dan lewat di bawah Projek Perumahan Rakyat Dimiliki (PPRD), prestasi agensi-agensi kerajaan, aktiviti pengambilan pasir sungai dan kesannya kepada alam sekitar di Sungai Benus, Bentong, pengurusan air tidak berhasil (NRW), pengurusan premis perniagaa sehinggalah kepada urusan pengendalian kes di Mahkamah Syari’ah Negeri Pahang. Pada pendapat Audit ..tidak memuaskan ..kerana.. Rakyat seharusnya telah lama pecat CEO syarikat ini atau MB kerajaan negeri ini.

Cukup mengaibkan.. Tak ada isu kata Adnan!

Sekadar mengambil contoh antara yang terbesar mengikut Laporan Ketua Audit Negara adalah kelemahan-kelemahan pentadbiran dan pengurusan yang mengakibatkan kerajaan negeri kehilangan sumber pendapatan sebanyak RM227.9 juta bila mana empat (4) buah syarikat-syarikat berkaitan negeri (GLCs) gagal membayar balik pinjaman mengikut jadual. Laporan juga mendedahkan bahawa tidak wujud peruntukan dalam perjanjian yang membolehkan kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap GLCs (contoh ASPA dan PKNP dll) apabila GLCs gagal membuat bayaran balik.

Dalam suasana anak-anak syarikat kerajaan ini mengalami kerugian, Menteri Besarnya masih boleh mengarahkan serta mengharapkan 50% dari keuntungan GLCs ini disumbangkan kepada kerajaan negeri. Jelas dan nyata bahawa Adnan sudah tidak peka dan hilang ‘touch’nya dengan realiti. inilah antara sebabnya mengapa pihak penganalisis mengwar-warkan bahawa kerajaan negeri Pahang berpotensi bankrap.

Oleh kerana Laporan Audit Negara adalah maklumat awam (public information), maka sewajarnyalah Kerajaan Negeri bersikap bertanggungjawab dan menerangkan kepada rakyat langkah-langkah yang telah diambil bagi membanteras kepincangan-kepincangan tersebut sebagai satu langkah ‘Pertanggungjawaban Awam”.

PAS menuntut kerajaan negeri di bawah kepimpinan Barisan Nasional mendedahkan prestasi semasa GLCs negeri sebagaimana dilakukan oleh negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Berdasarkan secebis pendedahan di atas, maka PAS/Pakatan Rakyat menyeru seluruh pengundi dalam PRK N28 Kerdau supaya membuat pilihan yang wajar dan tepat bagi membongkar segala kepincangan pengurusan kewangan negeri demi memperjuangkan kepentingan penduduk Kerdau khasnya dan seluruh negeri Pahang amnya.

Maka calon yang paling wibawa bagi merealisasikan tujuan dan menggalas tanggungjawab ini tentunya adalah mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tersebut. Apakah seorang calon yang berlatar belakang di bidang bahasa ’Arabkah atau yang berlatarbelakang di bidang ‘profesional’ dengan kemampuan serta pengalaman kerjayanya di luar negara dan dalam negeri?

Rakyat wajar menilai siapakah yang lebih wajar mewakili suara rakyat di Dewan Undangan Negeri Pahang bagi suara ‘semak-imbang’ pelbagai kepincangan pengurusan kerajaan negeri Pahang ini yang di bawah Umno/BN.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31122:betul-ke-pas-tak-ada-isu-di-kerdau&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...