Friday, March 4, 2011

Saman ekor: Keluhan pengundi kepada Yuhaizad

Hazayani Zakaria

JASIN, 4 Mac: Sepanjang enam hari berkempen, calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau, Yuhaizad Abdullah hari ini tampil menjelaskan permasalahan rakyat yang diadukan kepada beliau.

Beliau memberitahu, antara masalah yang turut menjadi keluhan rakyat adalah isu saman ekor yang dilaksana kerajaan.

Rata-rata pengundi yang ditemui melahirkan rasa tidak puas hati dengan saman ekor yang disifatkan cuba mengikis wang rakyat.

Selain itu, masalah kemudahan asas termasuk kekurangan lampu isyarat dan sistem perparitan yang tidak sempurna turut diadu kepadanya.

Menurutnya, rentetan daripada permasalahan itu, Umno BN segera menjalankan "projek mi segera" semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.

"Menyedari masalah penduduk yang tertangguh dan menampakkan kelemahan, "projek mee segera" telah dilaksanakan secara tergesa-gesa untuk mengatasi masalah di atas bagi memancing undi, sebenarnya tidak ikhlas dan mencabar keadilan proses pilihan raya," katanya.

Justeru, beliau menyeru pengundi-pengundi di Merlimau agar memberi peluang kepadanya untuk membawa permasalahan mereka ke peringkat lebih tinggi.

"Walaupun saya belum diberi mandat, saya telah mendapat aduan dan mengenalpasti masalah rakyat di kawasan Dun Merlimau.

"Oleh itu, saya menyeru seluruh lapisan rakyat khususnya pemilih di Dun Merlimau ,membuat keputusan yang tepat dengan memilih PAS pada PRK kali ini.

"Insya Allah bertambahnya suara pembangkang di Dun Melaka akan menguatkan lagi proses "check and balance" dan menyebabkan kerajaan Melaka akan lebih stabil kerana sentiasa meletakkan diri dalam landasan yang betul dan berwaspada, mengelakkan diri dari melakukan kesilapan kerana kekhuatiran terhadap kelantangan suara pembangkang," katanya.

Berikut adalah keluhan dan permasalahan yang diadukan penduduk Melimau kepada Yuhaizad:

1. Kekurangan lampu jalan Ayer Merbau dan Jasin Lalang.

2. Keperluan lampu isyarat persimpangan masuk kampung Ayer Merbau.

3. Penduduk Taman Sri Chin Chin mendakwa kadar cukai pintu tinggi.

4. Penduduk di Pengkalan Samak (Solok Pengkalan Samak) dan Ayer Merbau tidak dibaik pulih. Kelemahan prasarana ini juga mengakibatkan banjir kilat sering berlaku di Ayer Merbau.

5. Longkang dan perparitan yang tersumbat di Taman Debunga (Pengkalan Samak) dan Permatang Serai yang longkangnya tidak diselenggara (dipenuhi rumput).

6. Rumah terbiar dan persekitaran yang kotor di Merlimau Utara. Ini membimbangkan penduduk yang terancam dengan penyebaran denggi.

7. Penduduk Jasin Lalang tidak mempunyai dewan serbaguna.

8. Pendudk Kampung Ayer Merbau memohon pembinaan semula balai raya yang kini telah rosak dan terlalu kecil bagi menampung keperluan penduduk.

9. Kemudahan jalan yang tidak diturap dan dinaik taraf.

10. Permohonan untuk mendapatkan kelengkapan khemah yang tidak dipenuhi di Ayer Merbau dan Chin Chin.

11. Waktu pungutan sampah yang tidak sesuai di Permatang Serai.

12. Pokok yang dipotong oleh Majlis Perbandaran Jasin tidak dibersihkan di Taman Muhibah dan Merlimau Pasir.

13. Keluarga dan individu miskin, orang kurang upaya, sakit yang memerlukan bantuan di Chin Chin, Merlimau Pasir dan Taman Muhibah.

14. Masalah pencemaran Sungai Merlimau.

15. Tanah rizab Melayu yang diambil kerajaan tidak diganti semula.

16. Tidak berpuas hati dengan sistem saman ekor.

17. Peningkatan kes jenayah terutamanya kecurian motosikal.

18. Harga rumah di Merlimau yang mahal dan tidak mampu dimiliki penduduk.

19. Kaum India menghadapi masalah peluang pekerjaan, perumahan selepas berkhidmat di ladang dan masalah bantuan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dan Sekolah rendah Jenis Kebangsaan Cina(SRJKC).

20. Resah dengan kenaikan harga minyak dan harga barang.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31204:saman-ekor-keluhan-pengundi-kepada-yuhaizad&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...