Friday, March 11, 2011

Dua suspek kena tahan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai suspek kejadian menyimbah asid di hadapan sebuah sekolah kebangsaan di Bangsar, baru-baru ini, hingga menyebabkan lapan murid tahun enam cedera dicekup, petang kelmarin.

Kedua-dua suspek yang berusia 30-an ditahan di Bangsar ketika mereka menunggang motosikal. Ketika ditahan, sebuah botol berisi cecair dipercayai klorin dijumpai dalam raga motosikal mereka.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata penahanan suspek hasil siasatan pihaknya sejak hari kejadian dan pemantauan secara kerap di kawasan berkenaan.

“Kedua-dua lelaki warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 2 petang dan seorang daripada suspek mempunyai enam kesalahan jenayah lampau,” katanya.


Menurutnya, motif serangan masih dalam siasatan dan pihaknya juga menjalankan tugas statik di kawasan berkenaan bagi mengelak insiden terbabit berulang.


Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman tiga tahun penjara atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 2 Mac lalu, lapan murid tahun enam termasuk empat murid perempuan cedera pada muka dan badan apabila terkena cecair dipercayai asid yang dibaling seorang individu tidak dikenali ketika mereka menunggu van sekolah untuk pulang ke rumah.


Suspek menunggang motosikal Yamaha Lagenda melempar bungkusan plastik berisi cecair itu sebelum melarikan diri.

Difahamkan, kejadian khianat itu kes kedua berlaku di sekolah berkenaan manakala kes pertama pada dua minggu lalu mengakibatkan tiga individu cedera termasuk seorang murid.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duasuspekkenatahan/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...