Thursday, March 10, 2011

'Tolong selamat suami saya'

PONTIAN: “Tolonglah selamatkan suami saya dan semua nelayan lain. Dia menghidap masalah jantung dan hanya membawa bekalan ubat cukup untuk dua hari saja,” rayu Juriah Othman, 33, isteri seorang daripada tujuh nelayan tempatan yang ditahan Polisi Air (PolAir) Indonesia, kelmarin.

Suami Juriah, Zainodin Adam, 53, dan enam lagi nelayan ditahan PolAir ketika menangkap ikan di kedudukan 12.5 batu nautika dari perairan Senggarang, berhampiran Tampok di sini, kira-kira jam 5 petang.


Tekong bot, Zainodin yang baru melangsungkan perkahwinan dengan Juriah pada Mei lalu, dipercayai hanya membawa bekalan ubat untuk dua hari kerana dijadualkan pulang, petang ini.

Dia ditahan bersama birasnya, Rosli Ab Kassim, 34, dan rakan mereka, Jamil Md Top, 53, yang menaiki bot pukat tunda bernombor pendaftaran JHF6963B.


Empat nelayan lain yang ditahan ialah Ibrahim Mohd Kassim, 28, (tekong) dan tiga awak-awaknya, Redzuan Aris, 35, Mohamad Zamri Hambali, 26, dan Subani Samsuddin, 40-an (warga Indonesia) yang menaiki bot tunda bernombor pendaftaran JHF7281B turut ditahan dalam kejadian itu.


Menurut Juriah, sebaik dimaklumkan kejadian itu oleh majikan Zainodin, Tang Ah Soon, 70, dia begitu khuatir berikutan masalah kesihatan yang dihidapi suaminya.

“Suami ke laut pada kira-kira jam 2 petang dari Jeti Pontian Besar dan seperti biasa, dia tidak memberikan sebarang amanat, sebaliknya hanya memaklumkan supaya menjaga anak (hasil perkahwinan pertama Zainodin) dengan baik.


“Selepas itu tiada sebarang berita berkaitan suami hinggalah Tang datang dan memaklumkan kejadian jam 7 malam kelmarin,” katanya yang ditemui di perkarangan Pejabat Persatuan Nelayan Pontian Besar di sini, semalam.

Menurutnya, ketika menerima berita itu, dia berada di rumah adiknya, Normala, 26. “Suami Normala, Rosli, turut berada dalam bot sama dan kami seolah-olah tidak percaya ia berlaku kepada kami,” katanya.


Menurut Juriah, suaminya dijadualkan menjalani pemeriksaan kesihatan pada 23 Mac ini di Hospital Pontian dan berharap dia segera dibebaskan.


Normala merayu kerajaan berusaha membebaskan suaminya memandangkan insiden terbabit tidak sepatutnya berlaku.


“Suami dan rakan nelayan lain berada di perairan negara ini serta tidak melanggar undang-undang.


“Kami mempunyai dua anak, Nurul Aini, sembilan tahun dan Mohd Fadly, enam tahun. Seperti kakak (Juriah), suamilah punca pendapatan keluarga dan kehilangannya boleh menjejaskan masa depan kami,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tolongselamatsuamisaya/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...