Saturday, March 12, 2011

Penumpang Kereta Api Bawah Tanah Di Tokyo Terkandas

Jumaat Mac 11, 2011

TOKYO: Jutaan penumpang di Tokyo terkandas tengah hari ini apabila khidmat keretapi bawah tanah dihentikan buat sementara selama enam jam selepas gempa bumi 8.9 pada skala Richter melanda negara ini.

Gempa bumi itu dikatakan sebagai yang terbesar melanda Jepun dalam tempoh 100 tahun.

Dianggarkan enam juta orang menggunakan khidmat keretapi bawah tanah di Metro Tokyo setiap hari.

Khidmat keretapi dihentikan kira-kira 3 petang dan ini menyebabkan orang ramai berbaris panjang di hentian teksi dan stesen bas.

Banyak pejabat di tengah Tokyo melepaskan para pekerja lebih awal selepas gempa itu yang dikatakan yang terbesar melanda Jepun dalam tempoh 100 tahun dan ramai yang terpaksa berjalan kaki pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan kesejukan.

Ada yang berlindung di kompleks-kompleks beli belah dan berharap perkhidmatan keretapi akan disambung semula.

Khidmat keretapi disambung semula pada kira-kira 9 malam dan memberikan kelegaan kepada penumpang-penumpang yang terkandas.

Banyak hotel habis ditempah apabila ramai yang memutuskan untuk bermalam di bandar memandangkan banyak laluan keretapi masih belum pulih.

Polis Jepun malam ini mengumumkan bahawa lebih daripada 60 orang dilaporkan terbunuh akibat gempa bumi itu.BERNAMA


http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/3/11/mstar_berita/20110311231514&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...