Thursday, July 7, 2011

6 aktivis PSM fail habeas corpus supaya dibebas

Jul 6, 11 9:28pm

Enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D. Michael Jeyakumar, yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, hari ini
memfailkan permohonan habeas corpus supaya dibebaskan dengan segera.

Mereka memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Jenayah, Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang melalui firma guaman Tetuan Raj, Ong & Co dengan menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Selain Dr Jeyakumar, 56, mereka yang lain ialah Sukumaran a/l Munisamy, 50, Letchumanan a/l Aseer Patham, 49, Choo Chon Kai, 33, Sarasvathy a/p Muthu, 58, dan Sarat Babu a/l Raman, 25.

Permohonan habeas corpus itu dibuat atas alasan bahawa peguam dan anggota keluarga mereka tidak mendapat akses untuk menemui mereka walaupun telah beberapa kali memohon kepada pihak polis.

Dalam permohonan itu, mereka mendakwa tidak menghubungi keluarga atau pun peguam mereka sejak ditahan Sabtu lepas di bawah Seksyen 3(1) ordinan berkenaan.

Permohonan itu turut disertakan dengan notis perakuan segera melalui peguamnya Yudistra Darma Dorai supaya mahkamah mendengar kes itu dengan segera.

Yudistra, yang hadir ke mahkamah, memberitahu media bahawa polis Bukit Aman telah membenarkan pihaknya dan keluarga keenam-enam tahanan itu berjumpa dengan tahanan itu esok.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169158

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...