Thursday, July 7, 2011

Sosilawati ajak anak sulung ke Banting jumpa peguam

Jul 6, 11 8:46pm

Anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa beliau telah diajak menemani ibunya ke Banting untuk menemui peguam bernama 'Pathma' pada hari jutawan kosmetik itu dan tiga individu lain dilaporkan hilang.

Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, berkata ibunya meminta beliau berbuat demikian sekiranya pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin yang dipanggil 'Uncle Kamal' tidak hadir ke pejabat.

"Ibu cakap kalau Kamal tidak datang, saya kena ikut dia pergi ke Banting pada hari itu (30 Ogos 2010) kerana dia nak percepatkan tarikh cek sebelum Hari Raya. Uncle Kamal bagaimanapun datang ke pejabat kira-kira 4 petang dan ibu dalam keadaan nak cepat tinggalkan pejabat bersama Kamal menaiki kereta BMW X5 WTL11 untuk berbuka puasa di Banting," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Erni Dekritawati, yang juga dikenali sebagai Rita, memberi keterangan pada perbicaraan kes N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, R Matan dan R.Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.40 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Erni Dekritawati berkata sebelum bertolak, ibunya turut memberitahu bahawa beliau akan ke Banting bersama-sama Ahmad Kamil dan Noorhisham.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin mengapa Sosilawati ke Banting untuk mempercepatkan tarikh cek, saksi ke-15 pendakwaan itu berkata: "Untuk kegunaan Hari Raya kerana cek itu mempunyai tarikh selepas Raya dan ibu nak beri bonus kepada pekerja serta beri (wang) pada adik-beradiknya."

Erni Dekritawati yang merupakan pengarah syarikat Novelles Beauty Centre Sdn Bhd, berkata beliau menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kira-kira 7.30 malam hari yang sama, setelah beberapa panggilan daripada ibunya tidak dijawab.

"Saya baca SMS ibu yang berbunyi 'Jangan bagi Kamal masuk rumah, dia tangkap gambar mak. Kalau ada apa-apa hubungi Bisah (Habishah Bahari).' Saya call balik ibu berulang kali tetapi ibu tidak jawab telefon dan terus masuk ke voice mail. Lepas itu saya call pemandu (Kamaruddin) juga tidak berjaya dihubungi.

"Saya cuba call mereka (berempat) tidak dapat. Saya kemudian terus balik rumah dan call Bisah untuk tanya tentang SMS ibu saya tetapi Bisah cakap tidak mungkin Kamal buat macam itu, saya pun tidak percaya Kamal buat macam itu. Saya syak kerana tidak pernah selama ini ibu dan Kamal bergaduh sampai macam itu
sekali," katanya.

"Adakah awak percaya Kamal ambil gambar itu?," soal Ishak.

"Saya tidak percaya Kamal akan buat macam itu kerana lepas saya call Bisah, saya pergi ke bilik ibu (untuk periksa sekiranya terdapat kamera yang disembunyikan) tetapi tiada apa-apa," jawab Rita.

Saksi itu berkata beliau kemudian terus menunggu Sosilawati di rumah kerana ibunya telah berjanji untuk pulang memandangkan adik-beradik jutawan kosmetik itu dari Johor Baharu akan datang ke Kuala Lumpur pada malam kejadian.

Erni Dekritawati berkata selepas gagal menghubungi ibunya dan tiga lelaki itu, beliau terus ke Shah Alam untuk mencari kereta Proton Perdana hitam milik Noorhisham yang diletakkan di sebuah kawasan di Seksyen 7 dan beliau kemudian mendapati kereta itu masih berada di sana.

"Saya tahu tentang kereta Noorhisham kerana kira-kira pukul 7 malam sebelum itu (30 Ogos 2010) Kamil ada hubungi saya bertanyakan saya nak berbuka di mana dan ketika bercakap dengannya saya terdengar suara Noorhisham. Kamil kemudian memberikan telefonnya kepada Noorhisham dan Noorhisham memberitahu saya dia meletakkan keretanya di Shah Alam dan pergi ke Banting dengan menaiki kereta Kamil," katanya.

"Apa lagi yang diceritakan oleh Ahmad Kamil kepada awak," kata Ishak dan Erni Dekritawati menjawab:
"Saya tanya mereka buka puasa di mana dan Kamil jawab 'entah, mak kau bawak pergi hutan mana entah ni, pokok kelapa sawit je ada'.

Selepas itu saya tanya ibu ada di mana dan mereka cakap ibu ada dalam kereta di hadapan mereka."

Erni Dekritawati berkata pada 31 Ogos 2010, beliau yakin ibunya dan tiga lelaki itu masih belum pulang ketika beliau sekali lagi pergi ke Shah Alam dan mendapati kereta Noorhisham masih berada di sana.

"Selepas itu saya balik ke rumah dan rasa tidak sedap hati. Saya gelabah masa itu bila tidak dapat jumpa ibu saya dan tidak ada kekuatan untuk buat report apatah lagi saya fikirkan adik-adik lain di rumah jadi saya minta adik keempat saya (Erni Erinawati Sofia) buat laporan polis. Adik saya buat laporan polis sebanyak dua kali," katanya.

Erni Dekritawati berkata beliau dan bapanya ke Banting pada hari yang sama (31 Ogos 2010) untuk mencari firma guaman Pathma tetapi gagal ditemui.

Sementara itu, isteri Ahmad Kamil, Sabrina Adnan, 32, dalam keterangannya berkata suaminya menghubungi beliau kira-kira 4 petang 30 Ogos 2010, untuk memaklumkan bahawa dia tidak akan berbuka puasa bersama keluarga kerana perlu ke Banting bersama-sama Sosilawati dan Noorhisham untuk menguruskan hal tanah.

"Kemudian, kira-kira 7.50 malam (hari sama) suami call dalam keadaan tergesa-gesa memberitahu bahawa dia tidak balik selama tiga hari. Saya tanya kenapa dan dia cakap ada masalah, Kak Wati (Sosilawati) tengah menangis kerana driver Kamal ugut dia untuk sebar gambar tidak senonoh, jadi dia nak tolong selesaikan.

"Saya tanya suami dia nak pergi mana dan dia di mana sekarang tetapi dia tidak jawab. Saya juga dengar ada suara latar ketika suami saya bercakap seperti suara lelaki yang kedengaran garau. Ini bukan kebiasaan suami saya tidak menjawab soalan walaupun sesibuk mana pun dia. Selepas suami tamatkan perbualan saya ada cuba hubungi dia beberapa kali tetapi tidak dapat," kata saksi ke-14 pendakwaan itu.

Dalam prosiding itu juga, Sabrina, Pengarah di Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, yang kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan, turut mengesahkan barangan peribadi milik suaminya iaitu sebuah telefon bimbit jenis
Blackberry Bold berwarna putih dan jam tangan jenama 'Bell & Ross' edisi terhad yang dibeli dengan harga lebih RM16,000.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169157

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...