Kira-kira 1,000 pekerja sebuah syarikat di Taman Teknologi Malaysia di Bukit Jalil di sini, diarah mengosongkan bangunan pejabat pagi ini susulan kebocoran bahan kimia.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil Shaari Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.25 pagi.
“Setelah mengesan bahan tersebut, didapati kebocoran bahan kimia jenis ‘Bromomethane” dan ‘Chloropicrin’ yang merupakan sejenis racun kawalan serangga berbentuk cecair telah tersebar di tingkat bawah dan tingkat satu bangunan itu.
“Sebagai langkah kawalan, kami mengarahkan agar bangunan lapan tingkat itu dikosongkan bagi membolehkan pihak bomba menjalankan proses kawalan dan pembersihan udara,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Operasi itu, katanya melibatkan 26 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, Balai Bomba Hang Tuah dan sepasukan anggota Hazmat dari Balai Bomba Jelatek.
Beliau berkata sehingga 1 petang tadi, pihaknya berjaya membersihkan tingkat dua dan ke atas, manakala pembersihan di tingkat satu dan bahagian bawah masih dijalankan.
Pekerja juga dibenarkan memasuki pejabat masing-masing, kecuali di tingkat satu dan bahagian bawah, katanya.
Shaari berkata bahan kimia yang tersebar itu merupakan sejenis toksik yang boleh menyebabkan kerosakan pada saluran pernafasan jika terdedah untuk tempoh yang lama.
http://www.kl-today.com/2011/08/1000-kosongkan-premiskimia-bocor/
No comments:
Post a Comment