There was an error in this gadget

Tuesday, August 2, 2011

Presiden IPF kecewa kenyataan Palanivel

Ogos 1, 11 4:56pm

Presiden Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF), M Sambanthan hari ini melahirkan perasaan kecewa dengan kenyataan Presiden MIC Datuk G Palanivel menolak penyertaan parti politik berasaskan kaum India lain sebagai parti komponen BN.

Beliau berkata tindakan itu turut mengecewakan seluruh masyarakat India yang beranggapan kenyataan Palanivel itu akan menambah kepincangan dan memecahbelahkan hubungan antara MIC dan parti politik kaum India yang lain.

Sambanthan berkata bukan hanya MIC yang memperjuangkan masyarakat India kerana ia turut dilakukan parti lain seperti Parti Makkal Sakti Malaysia dan Parti Bersatu India Malaysia.

"MIC diibaratkan seperti ''abang'' dan IPF atau parti-parti politik yang lain seperti ''adik''... oleh itu sebagai abang, Palanivel harus menerima IPF atau parti politik India yang lain.

"Tetapi beliau (Palanivel) telah mengugut bahawa MIC akan bertindak keluar BN sekiranya BN menerima kemasukan parti berasaskan kaum India yang lain," katanya.

Semalam, selepas selesai perhimpunan agung tahun MIC, Palanivel dipetik sebagai berkata MIC merupakan satu-satunya parti mewakili masyarakat India dan beliau tidak akan menyokong mana-mana parti politik mewakili kaum India lain untuk menyertai BN.

"Jika Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) membuat keputusan esok untuk menerima parti IPF sebagai parti komponen BN, bolehkah saya mencabar dia (Palanivel) untuk keluar daripada MIC?" soal Sambanthan.

Ditanya sama ada IPF akan terus berusaha untuk menyertai BN, beliau berkata: "Kita memohon pucuk pimpinan BN iaitu Perdana Menteri untuk mengambil keputusan positif dan mempertimbangkan perjuangan kami (IPF) sejak 20 tahun lalu.

"Susah senang kita bersama BN. Meskipun ada parti pembangkang memberi peluang kepada IPF dengan pelbagai janji untuk menyokong IPF, tetapi kita masih setia dengan BN," katanya.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/171677

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...